KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat serta pertukaran enam pegawainya berkuat kuasa 29 Julai depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din mendahuli senarai apabila dilantik sebagai Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Katanya, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan diikuti dengan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim ditukarkan Timbalan Pengarah Forensik/ Data Bank DNA/ Perancangan Strategik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Selain mereka, Datuk Muhammad Azlee Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), JPJKK Bukit Aman manakala Datuk Fisol Salleh pula, dilantik memegang jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman.
“Turut tersenarai dalam pertukaran itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sarawak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – K! ONLINE











