Pasukan Petugas Khas 5G perlihat kemajuan signifikan - Utusan Malaysia

Pasukan Petugas Khas 5G perlihat kemajuan signifikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Pasukan Petugas Khas 5G yang ditubuhkan kerajaan bermatlamat mengesyorkan strategi holistik untuk pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia, telah memperlihatkan kemajuan signifikan sejak ditubuhkan pada Oktober tahun lalu.

 

Pengerusinya, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, antara kemajuan yang dicapai termasuklah peningkatan jumlah keanggotaan Pasukan Petugas Khas 5G sedia ada, penganjuran Pameran 5G Malaysia, kesediaan pihak industri menjayakan inisiatif 5G serta pelbagai perancangan yang telah dibincangkan oleh setiap kumpulan kerja dalam pasukan itu.

Beliau berkata, dalam aspek keanggotaan Pasukan Petugas Khas, jumlahnya telah meningkat daripada 30 kepada 110 ahli sehingga 31 Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Empat kumpulan kerja dalam Pasukan Petugas Khas 5G iaitu idea/cadangan perniagaan (business case), kawal selia, infrastruktur dan pengurusan serta pengagihan spektrum masing-masing telah pun memulakan gerak kerja mereka dalam menyediakan dapatan mengenai 5G ini.

“Keempat-empat kumpulan kerja berkenaan ketika ini sibuk menjalankan beberapa urusan seperti mengadakan penilaian teknikal, mengesahkan potensi kegunaan kes dan model perniagaan yang sesuai, serta memudahkan syor-syor dasar ke arah perancangan 5G yang lebih jitu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali Hanafiah lagi, turut dijalankan ketika ini adalah kajian spektrum yang bertujuan memastikan ketersediaan spektrum untuk pelaksanaan 5G.

“Manakala, panggilan kerjasama (call for collaboration) bagi Projek Demonstrasi 5G Malaysia dengan pihak industri akan turut diumumkan dalam tempoh terdekat ini. Di bawah panggilan kerjasama itu, pihak industri dijemput untuk mengemukakan projek-projek yang terletak di bawah vertikal seperti pertanian, automotif, pendidikan, hiburan/media, kesihatan, pengeluaran, keselamatan awam, bandar pintar dan golongan yang mempunyai kelainan upaya,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, bagi memantapkan penyelarasan, kefahaman serta pelaksanaan 5G dalam kalangan agensi-agensi kerajaan dan kementerian-kementerian pula, satu sesi bengkel pemantapan rangka kerja 5G bersama kementerian dan pihak berkepentingan akan diadakan pada 27 Jun ini di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ia juga bermatlamat untuk menjana idea-iedea baharu tentang cara-cara untuk membolehkan kegunaan kes 5G dalam pelbagai sektor nanti.

“Kesemua langkah yang diambil adalah kritikal ke arah memastikan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan teknologi 5G bagi negara, dapat direalisasikan mengikut sasaran yang ditetapkan iaitu menjelang akhir 2021 atau 2022,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini