ARAU – Pas yakin proses pengagihan kerusi antara parti itu dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berjalan lancar iaitu dengan matlamat utamanya adalah untuk merampas Putrajaya.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, situasi kali ini berbeza berbanding ketika proses pembahagian kerusi bersama Pakatan Rakyat dahulu yang menyaksikan lebih banyak pergaduhan serta ‘bertegang leher’ sebelum mereka mencapai keputusan muktamad.
Beliau yang mempunyai banyak pengalaman dalam soal pengagihan kerusi bersama parti-parti kerjasama sebelum ini berkata, Pas dan UMNO sudah berlapang dada bahawa perkara paling penting bagi mereka adalah mengalahkan musuh utama iaitu Pakatan Harapan (PH).
“Suasana sambutan masyarakat di satu-satu kawasan itu antara perkara yang bakal diambil kira untuk menentukan siapa calon yang akan bertanding. Saya rasa itu (pembahagian kerusi) bukan lagi masalah besar.
“Kalau dahulu betul, kita bertegang leher, berebut kerusi sesama parti dalam Pakatan Rakyat iaitu Pas, PKR dan DAP. Pernah satu ketika, keputusan sudah dicapai tetapi apabila sampai ke peringkat atas, dirombak kembali.
“Saya akui adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak tetapi saya yakin masalah pembahagian kerusi ini (UMNO-Pas) boleh diatasi dengan mudah. Bagi kita, siapa musuh utama… Kalahkan musuh utama itu adalah lebih penting,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, mengambil alih kuasa pentadbiran pada pilihan raya umum akan datang merupakan antara perundingan yang akan dibincangkan antara Pas dan UMNO dalam kerjasama yang dimeterai dua parti itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, rundingan menerusi pembentukan Piagam UMNO-Pas berkenaan turut dibuat dari sudut kawasan bertanding dan calon.
Tambah Hashim, beliau percaya segala hal berkaitan kerjasama itu akan berjalan lancar hasil politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh Pas.
“Malah, kita juga yakin UMNO juga sama dalam soal ini bagi memastikan kerjasama ini semakin utuh untuk merampas Putrajaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











