IPOH – Pas perlu menerangkan fatwa terbaharu parti itu apabila Dewan Ulama Pas menyifatkan menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah perkara yang wajib dilakukan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Asmuni Awi berpandangan, ‘fatwa’ dikaitkan dengan hukum itu merupakan satu perkara yang tidak sihat kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik.
“Dia kata wajib apa hujahnya? Tiada hujahnya. Kalau dikatakan kami tidak mengikut Islam, tunjukkan pada kami apa yang kami tidak ikut dalam Islam.
“Kalau dibandingkan dengan UMNO, adakah kami mencuri? Adakah kami mendokong penjenayah? Adakah kami mengamalkan rasuah? Adakah kami gagal dalam melaksanakan tugas kami sebagai kerajaan yang memerintah?,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Amanah Perak di Greentown Nova di sini hari ini.
Asmuni diminta mengulas mengenai ucapan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam Muktamar Tahun Pas Ke-65 di Kuantan kelmarin yang antara lain menyebut menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan adalah perkara wajib dilakukan.
Dalam pada itu, Asmuni berkata, perkara itu perlu diterangkan kerana ia disabit dengan hukum wajib, justeru sekiranya tidak diikuti, dianggap berdosa.
“Mahu tak mahu, saya katakan Pas ini membawa satu doktrin kepada pengikutnya yang dikaitkan dengan agama.
“Jadi, apabila mereka yang tidak mahir dalam agama, bila orang yang bercakap itu adalah orang berjanggut dan berserban, dia kata ini satu perintah yang tidak boleh disangkal. Betul tak betul kena ikut kerana yang bercakap adalah ulama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











