Pas hanya akan setuju jika pendaftaran pengundi dilaksana secara automatik - Utusan Malaysia

Pas hanya akan setuju jika pendaftaran pengundi dilaksana secara automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Pas hanya akan bersetuju dengan cadangan menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun jika pendaftarannya dilaksanakan secara automatik apabila cukup umur.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada masa ini, jumlah pengundi berumur 21 tahun yang masih belum mendaftar adalah sebanyak 3.6 juta daripada jumlah keseluruhan 14 juta pengundi di Malaysia.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, jumlah yang masih belum mendaftar itu dijangka mencecah enam juta jika had umur mengundi tersebut diturunkan kepada 18 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Masalah tersebut mungkin akan selesai jika pendaftaran pengundi dilaksanakan secara automatik. Kalau tidak buat begitu akan lebih ramai rakyat Malaysia dijangka tidak mendaftar sebagai pengundi.

“Jadi kita lihat apakah kewajarannya had umur mengundi diturunkan jika jumlah pengundi masih banyak belum mendaftar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.

Usul untuk menurunkan had umur mengundi di Malaysia dari 21 tahun kepada 18 tahun dijangka dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat bulan depan.

Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan cadangan menurunkan had umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun, bagaimanapun pindaan mengenainya perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga wakil rakyat di Parlimen sebelum diwartakan.

Tambah Takiyuddin, pihaknya sudah menerima surat mengenainya daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam masa sama, beliau juga hairan mengapa Syed Saddiq yang memberi penjelasan mengenai cadangan itu sedangkan ia adalah urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini