KUANTAN – Pas bukan seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang segelintir pemimpinnya berebut mahu menjadi Perdana Menteri sebaliknya parti itu tidak pernah memaksa dan mendesak untuk menjadi ketua dalam gagasan perpaduan bersama UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, matlamat kerjasama kedua-dua parti itu adalah untuk menyelamatkan negara daripada kepincangan PH.
Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas memberitahu, ucapan dasar Presiden Pas dengan jelas menggariskan gagasan perpaduan ummah yang meletakkan kepentingan Islam di hadapan mengatasi segalanya.
“Ucapan komprehensif itu tepat pada masanya kerana kita semua tahu ta’awun tersebut memberi fokus kepada dua parti terbesar orang Melayu dan Islam iaitu Pas dan UMNO.
“Masyarakat tertanya-tanya ke mana hala tuju selepas ini dan ucapan dasar Presiden Pas dalam muktamar memberikan hala tuju jelas bahawa perpaduan ummah mestilah dipimpin dengan Islam, bahkan ada isu berbangkit termasuk siapa yang patut memimpin. Tetapi kita tidak memaksa dan mendesak untuk menjadi ketua,” katanya kepada pemberita di luar Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini.
Sementara itu, Muhammad Khalil yang bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pas dalam pemilihan kali ini berkata, kenyataan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung senarai permohonan lucut harta terhadap 41 responden membuktikan tuduhan Pas menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah fitnah PH semata-mata. – UTUSAN ONLINE











