SHAH ALAM 24 Jun – Kerajaan Negeri Selangor akan bermesyuarat pada lusa untuk menggantikan keputusan Exco terdahulu dalam isu papan tanda jalan yang tidak mengikut sebagaimana dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sendiri telah memaklumkan kepada barisan Exco mengenai hal itu minggu lalu dan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri mengumpul semua dokumen berkaitan perkara tersebut.
“Kita akan bawa dalam mesyuarat pada Rabu kerana ia adalah keputusan Exco 2016-2018 yang meluluskan penggunaan dwi bahasa bagi kawasan majoriti Cina. Jadi untuk menggantikan keputusan Exco terdahulu, ia perlu dibawa ke mesyuarat Exco juga.
“Tapi selaku kepimpinan negeri, bahasa Melayu tetap kita daulatkan dan itu dasar kita. Pakatan Harapan (PH) amat konsisten dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan ketua kampung dan pengerusi majlis pengurusan komuniti kampung di sini hari ini.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan papan tanda jalan di Tanjong Sepat masih lagi menggunakan dwibahasa sedangkan Sultan Salahuddin telah menitahkan pada November tahun lalu agar hanya bahasa Melayu selaku bahasa Kebangsaan sahaja digunakan. – UTUSAN ONLINE











