JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan pasukan Unit Berbahaya (Hazmat) mulai malam tadi memantau kualiti udara pada setiap empat jam dalam radius 2 kilometer di kawasan pencemaran udara berdekatan dua sekolah di Pasir Gudang yang mengalami pencemaran udara semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, pada masa sama satu jawatankuasa saintifik sudah diaktifkan bagi menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca pencemaran.
“Menurut pemantauan kualiti awal udara oleh pihak JAS Negeri Johor dan pasukan Hazmat, parameter bagi elemen seperti carbon monoxide (CO), hydrogen sulfide (H2S) dan volatile organic compund (VOC) adalah sifar.
“Bacaan oksigen di tempat kejadian adalah 21.2 ppm dan ini bermaksud kualiti udara adalah normal dan terkawal. Pasukan Hazmat juga memperakui tiada bau dikesan di tempat kejadian sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, 15 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.
Sebahagian daripada mangsa tersebut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk mendapatkan rawatan segera.
Kejadian tersebut berlaku selepas kira-kira tiga bulan setengah insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berlaku yang mengakibatkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup dan kira-kira 6,000 penduduk terjejas.
Chen Coon berkata, menurut pegawai Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), pencemaran udara tersebut dikatakan seperti bau liquefied pertroleum gas (LPS) dan pihak sekolah memaklumkan bahawa bau tersebut sudah dikesan sejak tiga hari lalu.
Berikutan itu katanya, pasukan Hazmat, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan BBP Johor Bahru serta JAS negeri dengan agensi lain menjalankan kerja-kerja menyelamat dan kerja-kerja di tempat kejadian dengan segera. – UTUSAN ONLINE











