KOTA BHARU – Pemimpin dan ahli UMNO mempunyai tugas besar bagi memastikan momentum angin yang bertiup ke arah memupuk kekuatan parti diteruskan dengan baik.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, mereka juga harus bersedia untuk berjuang dan tidak berpeluk tubuh apabila gendang perang berbunyi.
Justeru, beliau menegaskan sikap ahli-ahli parti itu perlu berubah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Kita bersemangat untuk berperang tetapi perangai tidak berubah. Sistem kita perlu perbetulkan kerana tugas besar UMNO nak pastikan angin yang bergerak ke arah kekuatan itu bertiup dengan baik.
“Jangan harap kepada pertubuhan lain kerana UMNO adalah benteng terakhir umat Melayu dan Islam. UMNO dihormati oleh semua, mereka meletakkan harapan tinggi pada UMNO (untuk kembali) dan hari ini, pegawai-pegawai kerajaan menyesal tidak henti-henti (kerana mempercayai Pakatan Harapan),” katanya ketika berucapa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kubang Kerian di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohamad Noordin Awang merangkap Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian; timbalannya, Bakri Yusoff; Ketua Wanita, Datuk Zaleha Husin; Ketua Pemuda, Shahrul Fadhel Mohd. Aziz dan Ketua Puteri, Nurul Amal Datuk Mohd Fauzi.
Shahidan berkata, rakyat khususnya orang Melayu pada hari ini telah sedar mereka ditipu oleh parti pemerintah hari ini.
“Orang Melayu memang ‘syok’ kena tipu. Kalau cakap benda yang serius mereka akan tidur tetapi kalau dengar ceramah Mohamad Sabu walau pun tidak ada apa, kita seronok sungguh.
“Tengok sejarah kerajaan Melayu Melaka. Jatuh pada 1511 selepas lebih 400 tahun baru dapat naik balik. Kerajaan Melayu Pattani berapa lama kerajaan Siam cuba nak masuk kota kerajaan itu tetapi disebabkan percaya kepada orang luar yang bukan beragama Islam, orang itu yang buka pintu kota Pattani untuk Siam masuk dan akhirnya tumbang kerajaan itu,” katanya.
Tambahnya, sejarah itu harus menjadi pengajaran dan menjadi tugas UMNO untuk sentiasa memberikan kesedaran kepada orang Melayu. – UTUSAN ONLINE











