GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini bertindak meninggalkan kampung asal mereka selepas berlaku kematian mengejut sejak sebulan lalu.
Tinjauan di kampung itu hari ini mendapati kediaman kosong tidak berpenghuni apabila penduduk mula berpindah ke kawasan lain dan di tepi Sungai Pertang.
Penduduk Orang Asli di kawasan itu seperti ‘orang pelarian’ apabila persekitarannya begitu daif dan tahap kebersihannya tidak terjaga.
Mereka juga telah membina khemah dengan menggunakan kanvas dan daun cucuh sebagai tempat berteduh.
Seorang penduduk Midah Anjong, 70, berkata, penduduk sudah berpindah ke kawasan itu selepas Penghulu Kampung, Hamdan Keladi dan anaknya telah meninggal dunia.
Katanya, penduduk yang tinggal di rumah berkenaan mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat lain apabila semakin banyak kematian.
“Sepanjang kami tinggal di sini, tidak pernah berlaku kematian mengejut seperti ini selepas penduduk jatuh sakit.
“Penduduk yang mati sebelum ini agak menderita apabila demam panas, tubuh lemah, pening, muka merah akibat kepanasan, tekak dan tak boleh makan.
“Setiap hari penduduk sakit dan ramai penduduk dibawa keluar untuk terima rawatan ke klinik,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zeli Shahir Khan, 26, berkata, adik dan kakaknya turut meninggal dunia hampir sebulan lalu akibat sakit sama.
Katanya, sebelum ini penduduk tidak meminta bantuan luar kerana beranggapan itu penyakit biasa.
“Kami berharap agensi berkaitan menyiasat keadaan penduduk Orang Asli ini termasuklah sumber tadahan air kami,” katanya.
Sementara itu, Penghulu kampung itu, Raina Anjang memaklumkan sudah berlaku 14 kematian di kampung mereka.
Katanya, kebanyakan penduduk ditanam secara adat di dalam hutan termasuklah diikat pada batang pokok. – K! ONLINE












