Orang Asli Kuala Koh: Polis jejak 12 mayat dikebumi secara adat - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: Polis jejak 12 mayat dikebumi secara adat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Polis akan menggerakkan satu platun Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk menjejaki 12 mayat Orang Asli yang dikebumikan secara adat di dalam hutan di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seramai 30 anggota PGA Batalion 8, Pengkalan Chepa, sudah bersedia dan akan digerakkan esok.

Katanya, untuk mengesahkan 12 kematian itu operasi mengesan kubur itu akan dilakukan bersama penghulu kampung Orang Asli itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mengikut maklumat penghulu, mayat itu dikebumikan di dalam hutan mengikut adat tradisi mereka.

“Jika perlu kita akan mengorek dan membuat bedah siasat semula bagi mencari punca kematian mereka. 

“Di samping itu juga, saya akan membuat tinjauan melalui udara di Kampung Kuala Koh hari ini kerana ada dakwaan wabak ini dipercayai berpunca daripada air yang tercemar yang digunakan oleh kaum orang asli,” katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat insiden Orang Asli Kuala Koh, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin.

Acryl mengakui setakat ini polis hanya dapat mengesahkan dua kematian Orang Asli berpunca penyakit jangkitan paru-paru selepas dibedah siasat.

Katanya, setakat ini belum ada laporan mengenai pencemaran air dan hanya menerima dua laporan kematian.

“Secara rasmi kami berpegang kepada dua laporan kematian kerana itu yang dilaporkan kepada pihak polis dan 12 lagi ini hanya maklumat daripada penghulu Orang Asli terbabit dan mereka tidak melaporkan kepada kita. 

“Bagaimanapun kita tak boleh ambil ringan dan akan mengesahkan kematian ini dengan mengesan mereka terlibat.

“Kita juga berharap pelbagai pihak tidak mensensasikan krisis yang melanda Orang Asli Kuala Koh dan terus merujuk maklumat sahih dengan pihak polis,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini