Orang Asli Kuala Koh: KKM sedia buat ujian forensik semula - Utusan Malaysia

Orang Asli Kuala Koh: KKM sedia buat ujian forensik semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Kementerian Kesihatan bersedia membuat ujian forensik ke atas 12 lagi mayat penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini yang ditanam secara adat selepas meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan melakukan bedah siasat sekiranya terdapat permintaan serta menemui mangsa yang dipercayai ditanam di dalam hutan. 

Katanya, setakat ini pihaknya sudah membuat bedah siasat dan mengesahkan dua penduduk Orang Asli yang mati terkena jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak polis juga sudah melakukan siasatan dan cuba mengesan kubur 12 Orang Asli yang meninggal dunia itu, namun gagal dijumpai,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung krisis kesihatan yang melanda penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di Hospital Gua Musang, di sini hari ini. 
     
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini Hussin.
    
Tambah Dzulkefly, setakat ini seramai 50 penduduk Orang Asli dari kampung itu menerima rawatan di tiga hospital negeri ini.
   
Katanya, daripada jumlah itu seramai 37 orang masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang, 12 orang di Hospital Kuala Krai dan seorang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu. 
   
“Kita memberi jaminan akan sentiasa memberi rawatan berterusan kepada penduduk  Orang Asli dan menyangkal penduduk Orang Asli itu dijangkiti penyakit Leptospirosis atau kencing tikus.

“Namun, apa yang lebih penting juga kita mahu mengehadkan perhubungan penduduk Orang Asli dengan orang luar kerana bimbang berlaku jangkitan.

“Kita juga masih membuat siasatan lanjut dan masih belum menerima sebarang keputusan terbaharu tentang kajian penyakit yang dihadapi kaum Orang Asli itu,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini