GUA MUSANG – Insiden kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang akibat demam campak atau measles menyedarkan masyarakat itu tentang kepentingan suntikan vaksin untuk diri sendiri dan keluarga masing-masing.
Dalam tinjauan Utusan Online hari ini, rata-rata penduduk yang ditemui berkata, mereka bersedia menerima suntikan imunisasi terbabit bagi mengelak masalah kesihatan sama menimpa mereka pada masa depan.
Selain itu, ada antara penduduk menafikan andaian segelintir pihak kononnya mereka enggan memberi kerjasama terhadap petugas kesihatan dan mengelak menerima suntikan imunisasi.
Seorang penduduk, Kuntum Pisang, 55, berkata, dia amat berharap agar krisis kesihatan yang melanda perkampungan mereka segera berakhir.
“Kita minta pihak kesihatan datang secara lebih kerap selepas ini untuk membuat rawatan dan pemeriksaan kesihatan terhadap kami.
“Sebelum ini mereka datang membuat rawatan biasa dan memberi ubat-ubatan kepada penduduk yang sakit dalam sebulan sekali di kawasan penempatan kami,” katanya.
Semalam, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin dilaporkan berkata, semua penduduk di sekitar Kampung Kuala Koh akan diberi suntikan vaksin bermula minggu depan bagi mengelak serangan measles atau demam campak.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri kini sedang mengenal pasti bilangan penduduk yang terdedah dengan ancaman penyakit itu memandangkan Kuala Koh turut didiami masyarakat lain selain Orang Asli suku Bateq.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Osman Halim, 28, berkata, dia masih trauma dan sedih susulan kematian 15 rakan dan saudara-mara di kampung itu baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, dia bersedia memberi kerjasama kepada petugas kesihatan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap diri dan keluarganya.
“Saya juga tidak ada masalah untuk membenarkan mereka memberi suntikan vaksin terhadap anak-anak saya yang masih kecil. – UTUSAN ONLINE











