KEPUTUSAN Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim) mematuhi piawaian Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) ternyata satu langkah strategik untuk membuka laluan kepada inisiatif meningkatkan kesejahteraan alam sekitar dan sosial selain meningkatkan prestasi bisnesnya.
RSPO adalah sebuah pertubuhan berpengaruh di Zurich, Switzerland dalam menyediakan satu set kriteria alam sekitar dan sosial yang mesti dipatuhi pelbagai sektor industri minyak sawit bertujuan menghasilkan minyak kelapa sawit yang mampan (CSPO) untuk diterima pasaran global khususnya negara maju.
RSPO disertai 3,659 ahli dari 92 negara. Kulim memperoleh persijilan RSPO sejak 2009 untuk lima kilang sawit dan 27 ladangnya di seluruh Johor. Dengan itu, semua aktiviti perladangan, pelan penambahbaikan secara berterusan serta usaha menangani isu-isu dalaman dan luaran di Kulim perlu mematuhi undang-undang dan keperluan pensijilan RSPO.
Selain itu, Kulim perlu menganjurkan siri program latihan bagi meningkatkan kefahaman mengenai RSPO serta mewujudkan kerjasama dengan pembekal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta pihak berkaitan.
“Semua inisiatif yang dilakukan serta undang-undang dan keperluan pensijilan RSPO yang dipatuhi membolehkan Kulim mempertahankan RSPO untuk sekian lama,” kata Pengarah Eksekutif Kulim, Zulkifly Zakariah.
Antara inisiatif Kulim seiring dengan keperluan RSPI ialah menubuhkan Kulim Wildlife Defenders (KWD), melaksanakan program Inisiatif Infaq pokok dan menjalankan Inisiatif Penghijauan Ladang sebagai komitmen jangka panjang.
Program ladang integrasi pula menyaksikan Kulim kini mempunyai lebih 6,000 ekor lembu yang menyumbang pendapatan tambahan kepada syarikat malah penjimatan dari segi pengurangan penggunaan baja dan racun rumpai.
Menerusi KWD, Kulim melaksanakan program untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar dan perlindungan alam sekitar menerusi aktiviti pendidikan. Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Taman Negara, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan serta polis.
Peranan KWD menjurus kepada inisiatif membendung kegiatan penyeludupan dan pemburuan hidupan liar menerusi program kesedaran yang dilaksanakan. NGO itu juga bekerjasama atau membantu persatuan, kelab alam sekitar, badan konservasi hidupan liar serta agensi kerajaan berkaitan.
Inisiatif lain untuk mensejahterakan alam sekitar adalah menerusi program Inisiatif Infaq Pokok bagi menyahut aspirasi program penghijauan persekitaran di kawasan terpilih di ladang Kulim dan kawasan awam terpilih.
Program yang dicetuskan pada 2008 itu menyaksikan lebih 4,000 pokok ditanam meliputi kawasan lebih 13.17 hektar yang turut melibatkan spesies pokok yang diancam kepupusan.
Seterusnya, Inisiatif Penghijauan Ladang dilaksanakan menerusi penglibatan pekerja ladang yang memanfaatkan tanah-tanah kosong dengan menanam sayur-sayuran, jagung dan serai.
Program ini mendapat kerjasama Jabatan Pertanian yang membekalkan input seperti baja dan benih selain khidmat nasihat. Hasilnya memberikan sumber makanan tambahan dan pendapatan sampingan kepada pekerja ladang. Antara ladang yang aktif dalam program ini ialah Ladang Kuala Kabong, Ladang Selai@Persona WOW, Ladang Sungai Tawing dan Ladang Labis Bahru.
Zulkifly menambah, inisiatif lain ialah program kitar semula di semua ladang dan kilang, Patrol Bersepadu di bawah Projek Pemuliharaan Hidupan Liar Johor (JWCP) secara bulanan, kitar semula bekas racun makhluk perosak dengan kerjasama G-Planter serta Raja Zarith Sofiah Wildlife dua tahun sekali yang diterajui Sekretariat KWD.
“Kulim juga komited untuk mematuhi kriteria dan prinsip di bawah persijilan RSPO dengan menubuhkan Panel Aduan Wanita (PAW) pada 2008 dan dijenamakan semula sebagai Women OnWards (WOW) pada 2010.
“WOW dianggotai pekerja wanita, isteri dan anak perempuan pekerja dengan aktif memberikan perlindungan, latihan dan kesedaran yang menjurus kepada pembangunan serta memperkasakan hak serta kerjaya wanita,” katanya.
Badan itu turut membimbing ahlinya dalam bidang keusahawanan dengan menghasilkan pelbagai produk makanan ringan yang jualannya mencapai RM50,000 setahun.
Beliau berkata, Kulim turut menyantuni aspek pengukuhan akidah dengan menguruskan 11 masjid dan 20 surau yang mempunyai lebih 2,300 kariah menerusi pelbagai program yang disusun sepanjang tahun.
Kulim juga memberi bantuan persiapan kembali ke sekolah dan menyediakan kenderaan untuk anak-anak pekerja ladang pergi-balik.
Ternyata pematuhan Kulim terhadap RSPO dapat membantu meminimumkan kesan negatif kepada kegiatan perladangan kelapa sawit terhadap alam sekitar dan masyarakat sekitarnya selain membolehkan Kulim menikmati hasil jualan CPO pada harga premium.
PENULIS ialah Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik Johor Corporation.











