IPOH – Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri yang memasuki hari ke-12 semalam merekodkan penurunan kes kemalangan maut di negeri ini sebanyak 10 kes iaitu 18 kes pada tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu yang melibatkan 28 kes.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain bagaimanapun berkata, dalam tempoh itu juga, berlaku peningkatan daripada segi jumlah kemalangan iaitu sebanyak 105 kes.
Katanya, ini menjadikan jumlah kemalangan yang dicatatkan pada Op Selamat 15/2019 adalah
sebanyak 1,683 kes berbanding 1,578 kes pada Op Selamat 13/2018.
“Sehingga semalam, Op Selamat 15 mencatatkan 18 kes kemalangan maut yang mengorbankan 20 mangsa berbanding 28 kemalangan maut dengan 21 kematian pada tahun sebelumnya.
“Sepanjang tempoh itu juga, daripada 1,683 kes kemalangan, sebanyak 20 kes melibatkan kecederaan parah dan 19 kes cedera ringan manakala 1,631 kes kenderaan rosak,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ketua Polis Perak di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 18,289 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan polis Perak terhadap pengguna jalan raya berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 30,159 saman.
Katanya, jalan bandaran pula merekodkan jumlah kemalangan jalan raya tertinggi dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 72 kes atau 14 peratus iaitu 570 kes pada tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 498 kes.
“Jalan persekutuan pula merekodkan lokasi kemalangan kedua tertinggi iaitu 445 kes diikuti jalan negeri (279), lebuh raya (283) dan jalan-jalan lain sebanyak 106 kes,” katanya.
Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 29 Mei lalu sehingga 12 Jun ini. – UTUSAN ONLINE











