Op Didik: 33 pelajar dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Op Didik: 33 pelajar dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN 27 Jun – “Selepas umur 16 tahun sepatutnya kena ambil lesen (motosikal), jika tidak boleh dikenakan hukuman minimum sebanyak RM300 kerana kita sudah pinda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ini menunjukkan kerajaan serius (atas kesalahan tersebut) kerana di bawah umur 16 tahun masih ada budi bicara. Namanya pun Op Didik, sepatutnya ibu bapa kena hantar anak mereka ke sekolah bagi yang berusia 16 tahun ke bawah.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian kata Hakim Mujib Saroji ketika 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perkasa, Hutan Melintang yang sepatutnya mengikuti sesi persekolahan pagi ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pelbagai kesalahan jalan raya, sewaktu Ops Didik berlangsung pada April lalu.

Kesemua 26 pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah kepada setiap seorang dengan ditemani penjaga masing-masing.

Mengikut pertuduhan, majoriti daripada pelajar berkenaan didakwa melakukan kesalahan memandu motosikal berumur kurang 16 tahun selain tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM).

SEBAHAGIAN daripada 33 pelajar yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pelbagai kesalahan jalan raya sewaktu Ops Didik pada April lalu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. – UTUSAN ONLINE/KAMAL BASIR WAHAB

Selain itu, ada antara mereka yang didakwa atas beberapa kesalahan lain seperti tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar, tidak mempamerkan nombor plat kenderaan serta tiada cermin belakang.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pelajar tersebut sewaktu Ops Didik dijalankan oleh pihak polis di Jalan Hutan Melintang pada 24 April lalu, kira-kira pukul 3 petang.

Pendakwaan yang dikemukakan di bawah Seksyen 39 (1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta sama bagi kesalahan menunggang motosikal berumur kurang 16 tahun itu memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan tidak memiliki lesen memandu mengikut Seksyen 26(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26(2) akta sama, ia pula membolehkan orang kena saman (OKS) didenda minimum RM300 dan tidak melebihi RM2,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Perundangan dan Pendakwaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, Fatisha Badrul Hisham manakala kesemua pelajar diwakili peguam bela M. Saravanan yang menawarkan khidmat guaman secara percuma.

Terdahulu, Saravanan dalam hujahnya merayu supaya setiap OKS dikenakan hukuman denda paling minimum berikutan kebanyakan ibu bapa pelajar tersebut hanya bekerja kampung selain mereka telah memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan para pelajar itu didenda antara RM50 hingga RM150 mengikut budi bicara hakim dengan dua daripadanya dilepaskan dengan amaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini