BACHOK – OEW Group, sebuah syarikat agro-bioteknologi, penjagaan kesihatan dan kecantikan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membangunkan industri pengkulturan alga mikro secara komersial di Jeli, sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di negara ini.
Sebagai permulaan, syarikat milik anak tempatan itu memperuntukkan kira-kira RM3 juta untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), inkubasi serta inovasi bersama penyelidik dari Fakulti Bio-Kejuruteraan dan Teknologi UMK Kampus Jeli.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif OEW Group, Datuk Dr. Nazily Mohd. Noor berkata, komitmen syarikat serta penglibatan UMK dalam projek itu telah dimuktamadkan menerusi satu memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani kedua-dua belah pihak pada 24 Mac lalu.
“Objektif MoC ini ialah untuk berkolaborasi dengan UMK dalam melaksanakan program R&D, inkubasi dan pengkulturan alga mikro secara komersial yang kita jangka selesai menjelang 2020. UMK Kampus Jeli akan dijadikan sebagai pusat penyelidikan utama program ini.
“Selepas itu, teknologi ini akan dipindahkan kepada penduduk Jeli supaya mereka dapat menjadikannya sebagai sumber pendapatan baharu, iaitu dengan cara menternak alga mikro untuk dibekalkan kepada syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di UMK Kampus Bachok, di sini semalam.
Yang turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail.
OEW Group beroperasi sejak 12 tahun lalu dan merupakan antara syarikat pengeluar produk penjagaan kesihatan serta kecantikan berasaskan alga mikro utama di negara ini serta negara-negara di rantau ASEAN.
Berpusat di Subang Jaya, Selangor, syarikat itu menghasilkan 32 produk di bawah beberapa rangkaian jenama seperti Dr. Esence, Royal Esence, Royal Valens dan Royal Expert. Produk-produk terbabit mengandungi astaxanthin, iaitu sejenis pigmen kemerahan atau karotenoid yang boleh diekstrak dari alga mikro jenis haematococcus.
Menurut Nazily, permintaan terhadap astaxanthin semakin tinggi di seluruh dunia kerana dilaporkan mempunyai khasiat kesihatan luar biasa seperti antioksida paling kuat, iaitu 600 kali lebih baik berbanding vitamin C dan 500 kali lebih baik berbanding vitamin B.
Walau bagaimanapun kata beliau, tiada pengkulturan alga mikro secara komersial untuk mendapatkan astaxanthin dilakukan di negara ini menyebabkan OEW Group terpaksa mengimportnya dari Jepun dengan kos antara RM186 hingga RM800 sekilogram
mengikut gred tertentu.
“Jika fasa R&D berkaitan pengkulturan alga mikro ini berjalan lancar, kita rancang untuk membuat pelaburan seterusnya iaitu membina sebuah ‘alpha plant’ (loji utama) astaxanthin pertama di negara ini yang dianggarkan bernilai antara RM20 juta hingga RM30 juta,” katanya.
Sementara itu, Noor Azizi berkata, UMK mengalu-alukan kesediaan OEW Group bekerjasama dengan pihaknya untuk membangunkan industri pengkulturan alga mikro secara komersial kerana inisiatif tersebut bakal memberi manfaat besar kepada para penyelidik dan pelajar UMK – UTUSAN ONLINE











