Jahitan yang baik memerlukan pola dan ukuran yang betul bagi mendapatkan rekaan yang unik dan mampu menghasilkan pakaian yang kemas dan selesa digayakan.
Tidak kiralah sama ada pakaian tradisional mahupun moden, masing-masing memerlukan ukuran dan pola yang betul untuk mengelakkan jahitan yang tidak menepati ukuran saiz badan pelanggan yang membuat tempahan.
Namun, tidak semua orang mampu memahami kaedah jahitan menggunakan pembaris yang memerlukan pengiraan matematik betul dan agak sukar dipraktikkan bagi mereka yang baru mula belajar.
Untuk memudahkan pemahaman kaedah pola jahitan, Nur’ Athirah Razali, 37, mengambil inisiatif menghasilkan pembaris pola baharu yang dikenali sebagai D’ Athirah Design Magic Ruler.
“Penggunaan magic ruler lebih menjimatkan masa berbanding melukis pola menggunakan cara tradisional iaitu pembaris panjang dan dilukis di atas kertas minyak.
“Pembaris ciptaan saya ini lebih mudah difahami kerana dilengkapi formula dan tidak perlu membuat pengiraan berbanding dengan pembaris tradisional yang memerlukan kemahiran matematik,” katanya kepada Mega Rona.
Mempunyai kemahiran menjahit adalah anugerah buatnya yang sudah berkecimpung hampir 10 tahun dalam bidang fesyen dan reka bentuk jahitan baharu.
Suatu ketika dahulu Nur’ Athirah pernah menghadapi pahit getir kehidupan apabila terpaksa berhadapan dengan cabaran emosi yang teruk kerana kehilangan anak yang dikandung selain masalah kewangan keluarga yang tidak stabil.
“Suami saya telah ditamatkan perkhidmatan di tempat kerjanya dan saya pula bertarung dengan emosi yang tidak stabil selepas kehilangan anak. Keperitan hidup inilah yang membawa ilham kepada saya untuk mencipta magic ruler.
“Allah telah memberikan kesedaran kepada saya bahawa kemahiran yang dimiliki harus digunakan untuk membantu mencari rezeki buat keluarga,” katanya.
Dia akui bahawa dunia perniagaan mempunyai graf naik dan turun, namun setiap usahawan tidak seharusnya mudah putus asa dengan rahmat Allah, sebaliknya perlu berusaha dengan lebih gigih.
“Don’t be the best, but be the first (jangan jadi yang terbaik, namun jadilah yang pertama) merupakan kata-kata yang dipegang oleh Nur’ Athirah untuk menjadi seorang usahawan yang berpandangan jauh.
“Kata-kata itulah yang sentiasa saya pegang untuk berjaya seperti hari ini,” katanya.
Magic ruler tembusi pasaran luar
Nur’ Athirah memberitahu bahawa pembaris ciptaannya sudah terjual lebih 500 unit dan mula menembusi pasaran Indonesia, Brunei dan Singapura.
Inovasi ditampilkan melayakkan produk berkenaan memenangi tempat pertama Cabaran Inovasi Inklusif Zon Tengah 2016 dan finalis Anugerah Inovasi Negara 2017 bagi kategori Produk Pembaris dan Anugerah Harta Intelek Negara 2018 serta Anugerah Inovasi Selangor 2018.
“Lebih daripada 12 jenis pembaris pola kaedah baharu telah dihasilkan dengan pelbagai fungsi berbeza bagi memudahkan kerja mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang jahitan.
“Selepas dua hari belajar teknik-teknik menggunakan pembaris ini sudah cukup untuk membantu mereka menghasilkan reka bentuk baju yang diinginkan,” katanya.
Tambahnya, D’ Athirah Design Magic Ruler hanya boleh didapati secara atas talian iaitu menerusi pesanan dalam laman sosial Facebook atau Instagram.
“Saya tidak memasarkan produk ini dalam pasaran biasa untuk mengekalkan harga di samping menjamin kualiti pengeluaran yang eksklusif,” katanya.
Kongsi anugerah Ilahi
Menurut wanita kelahiran Sarawak ini, dia tidak mahu mensia-siakan anugerah Ilahi dan mahu berkongsi bakat yang diperoleh dengan membantu golongan yang memerlukan.
“Saya bukan sekadar menjalankan perniagaan untuk meraih keuntungan, sebaliknya saya ingin berkongsi bakat yang ada untuk mengajar golongan asnaf seperti orang kurang upaya (OKU) dan orang susah bagi membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
“Alhamdulillah, kebanyakan mereka yang mendapat tunjuk ajar saya sudah boleh mengambil tempahan jahitan baju dan ada yang sudah menjadi tenaga pengajar untuk bengkel jahitan,” katanya.
Nur’ Athirah turut mahu mewujudkan sebuah pusat sehenti untuk kelas jahitan menggunakan kaedah pola baharu di seluruh negara pada masa hadapan.
“Inisiatif untuk membuka kelas jahitan di seluruh negara perlu dilakukan kerana saya faham bukan semua orang berkemampuan untuk membayar yuran pengajian yang tinggi di samping perlu datang ke tempat belajar yang agak jauh,” katanya.









