KARACHI 19 Jun – Seorang pemandu teksi Pakistan yang mempunyai berat 330 kilogram terpaksa dibawa menggunakan helikopter tentera ke Lahore bagi mendapatkan rawatan, susulan masalah berat berlebihan yang dialaminya.
Portal berita Dawn melaporkan, Noorul Hassan yang tinggal di Mohallah Islampura dekat Sadiqabad sebelum ini memohon kepada Ketua Turus Tentera Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa untuk mendapatkan rawatan berhubung masalah kesihatannya.
Penolong Pesuruhjaya Sadiqabad, Kashif Dogar memaklumkan bahawa, Noorul, 55, tidak boleh dibawa menggunakan ambulans berikutan berat dan saiz badannya yang besar.
Selain itu, pemandu tersebut juga hidup dalam keadaan daif di sebuah rumah kecil.
Ketika diselamatkan, pasukan keselamatan terpaksa memecahkan pintu utama dan dinding rumah Noorul untuk mengeluarkannya.
Dia kemudiannya diletakkan di atas sebuah trak mini dan dibawa ke sebuah padang bola untuk menaiki helikopter.
Sebelum itu, helikopter berkenaan terpaksa mendarat di Multan sebelum menuju ke Sadiqabad ekoran cuaca buruk.
Seorang pakar bedah, Dr. Maazul Hassan akan merawat Noorul bagi mengatasi masalah berat badannya.
Sementara itu, ahli keluarga Noorul mengedarkan manisan kepada jiran tetangga mereka bagi meraikan ‘kejayaan’ lelaki itu dibawa ke Lahore untuk dirawat. – AGENSI











