KEPENTINGAN bekalan air kepada manusia tidak ubah seperti semut dengan gula. Di mana ada gula, di situlah kita temukan semut. Samalah apa yang digambarkan oleh Noorsyazly Rameli mengapa Hargeisa, ibu kota Somaliland menjadi tumpuan.
Walaupun dilanda kemarau yang panjang dan kedaifan hidup di bandar tersebut, ia tetap menjadi tumpuan penduduk di wilayah lain dalam Somalia dan negara sekitarnya kerana mempunyai sumber bekalan air.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila banyak penempatan sekitar bandar dan kampung di Somaliland berkonsepkan khemah besar sementara. Ini kerana mereka akan berpindah ke tempat lain apabila bekalan sumber air sudah tiada.
Malah tambahnya, ia sejajar dengan jangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa jika musim kemarau berterusan sehingga Julai ini, lebih 750,000 penduduk Somalia berdepan dengan ancaman kebuluran.
“Kalau berada di luar bandar, untuk mencari sumber bekalan air sama ada untuk diri sendiri atau aktiviti pertanian dan ternakan mereka perlu merantau beratus kilometer.
“Bila jumpa sumber bekalan air, ada lagi masalah lain timbul iaitu bagi mendapatkannya mereka perlu menggali sedalam 300 meter hingga 400 meter dan untuk menyedut ke tangki simpanan, mereka perlu beli pam air yang mahal harganya,” katanya.
Dalam masa sama, Noorsyazly memberitahu, ada beberapa kampung yang sempat dilawati sudah ada kolam takungan air masing-masing, tetapi disebabkan kemarau berpanjangan ia menjadi kering kontang.
Mereka juga bukan hanya berdepan dengan masalah kewangan untuk menggali dan menyedut air, tetapi juga wujudnya permintaan melebihi kapasiti kolam takungan tersebut.
“Hendak gali amat sukar kerana terpaksa guna tenaga manusia. Mesin gali air hanya ada tiga buah di Somaliland dan kos untuk belinya adalah setengah juta dolar,” katanya.
BERI HARAPAN
Justeru, matlamat jangka panjang MyCare adalah memberi tumpuan untuk membina lebih banyak perigi air dan pusat pendidikan kemahiran di luar bandar.
Usaha sedemikian bagi Noorsyazly amat penting bagi mengelakkan wujud penghijrahan penduduk ke kawasan bandar dan mengaktifkan kembali kegiatan pertanian serta ternakan.
Lagipun tambahnya, bantuan tersebut diperlukan kerana rata-rata penduduk luar bandar dalam wilayah Somaliland bergantung kepada hasil pertanian dan ternakan.
“Pihak MyCare pernah mengadakan lawatan pada 2017 dengan memfokuskan untuk membina perigi air selain menghulurkan bantuan makanan dan kesihatan manakala tahun ini kami tumpukan kepada aspek pendidikan kemahiran.
“Kami mahu ubah pemikiran masyarakat luar bandar yang kini rata-rata anggap pendidikan tidak penting dalam usaha mengubah taraf kehidupan mereka pada masa depan,” katanya.









