KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 nelayan yang menaiki dua bot dipercayai diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan berdekatan Pulau Tawi-Tawi, Selatan Filipina.
Utusan Borneo melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun menjelaskan pihaknya belum mendapatkan maklumat penuh berkenaan kejadian.
Katanya, identiti serta status kewarganegaraan mangsa juga masih belum dipastikan setakat ini.
Menurut laporan Utusan Borneo, difahamkan kejadian berlaku apabila dua bot nelayan dinaiki sekumpulan nelayan warga asing yang memegang dokumen khas Lepa-Lepa yang dikeluarkan pada 1970-an.
Semasa berada di perairan Tambisan, Lahad Datu, Sabah menuju ke Semporna mereka kemudiannya didatangi lelaki yang menaiki bot laju dan dipercayai bersenjata pada pukul 2 pagi tadi iaitu semasa Perintah Berkurung sedang berkuatkuasa.
Enam lagi nelayan yang selamat mendakwa kejadian berlaku apabila mereka dalam perjalanan untuk memperbaharui permit.
Sementara itu, jurucakap Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata, setakat ini pihaknya masih menyiasat lokasi sebenar kejadian berikutan ianya tidak dapat dipastikan sama ada di kawasan di perairan Filipina atau Malaysia.-UTUSAN ONLINE











