Negeri Sembilan bekal air bersih kepada Melaka - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan bekal air bersih kepada Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersetuju membekalkan air bersih tambahan kepada kerajaan negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) itu berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri sebentar tadi dan dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menerusi perjanjian itu, Sains akan membekalkan sejumlah 12 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Adly dalam sidang akhbar selepas majlis itu memaklumkan, bekalan air berkenaan diperlukan untuk edaran kawasan Pulau Sebang, Jambatan Lubok China, Kuala Linggi, Kendong, Titian Bintangor, Pondoi.

Kata beliau, turut menerima faedah bekalan air bersih menerusi perjanjian tersebut adalah kawasan Batang Melaka, Sungai Rambai, Chohong, Tangkak dan Simpang Bekoh.

“Perjanjian ini adalah antara inisiatif yang diambil kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air di Melaka mencukupi keperluan kita selain mengatasi isu-isu berkaitan kemarau panjang.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan yang membantu kita bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat terjamin,” katanya.

Pada majlis itu, Adly dan Aminuddin mewakili kerajaan negeri masing-masing manakala Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd. Khalid Nasir dan Pengarah Sains, Wan Rasdi Wan Ismail mewakili agensi terlibat.

Sementara itu, Aminuddin dalam sidang akhbar sama turut menyambut baik usaha dan kerjasama antara kedua-dua negeri yang terletak bersempadan ini termasuk dalam pembekalan air.

“Insya-Allah kita akan selesaikan persempadanan antara Melaka dan Negeri Sembilan iaitu di Kuala Linggi dalam tempoh terdekat.

“Apa yang penting apabila ada persempadanan nanti ia akan memudahkan pembangunan di kawasan sempadan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×