MyCar sambut baik PSV - Utusan Malaysia

MyCar sambut baik PSV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Syarikat pengendali e-hailing MyCar menyambut baik Akta E-Hailing pindaan 2017 yang akan dikuatkuasakan bermula Julai depan yang mensyaratkan pemandu perkhidmatan itu perlu memiliki Lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Pengurus MyCar negeri, Ezuan Hadi berkata, penguatkuasaan tersebut akan memberi satu jaminan dan perlindungan insurans kepada pemandu serta penumpang pengangkutan awam e-hailing itu.

“Ianya secara langsung akan memberi satu keyakinan kepada setiap pemandu dan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan ini seandainya ditimpa sebarang musibah sewaktu perjalanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga kini, sudah ada beberapa pemandu MyCar yang sudah mengikuti modul latihan PSV sama ada secara atas talian mahupun di institusi memandu berdekatan ,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar MyCar Kelantan di Jewels Hotel di sini hari ini.

Sementara itu , Ezuan berkata, sehingga kini, perkhidmatan MyCar sudah mencatat hampir 500 pemandu yang berdaftar sejak perkhidmatan tersebut beroperasi di negeri ini sebulan lalu.

“Buat masa sekarang, kita sudah menerima tempahan perjalanan sehingga 90 hingga 110 sehari. Ini menunjukkan satu tindak balas positif daripada pengguna di negeri ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ezuan berkata, MyCar turut menawarkan tambang serendah RM1 kepada pelanggannya melalui kod promo MYCARKB bagi meringankan beban semua pengguna di seluruh negeri ini sejak 1 Jun lalu.

“Selain itu, pihak kami juga menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan perkhidmatan MyCar secara percuma kepada asnaf terpilih di negeri ini.

“Kita sudah kenal pasti empat lokasi bagi CSR tersebut iaitu di Bachok ; Tanah Merah; Pasir Mas dan Kota Bharu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini