LONDON – Pemain tenis sensasi Britain, Andy Murray tidak menyangka mampu melangkah ke final acara beregu saingan ATP Fever-Tree di Kelab Queen, London selepas dihimpit masalah kecederaan sebelum ini hingga memaksanya menjalani pembedahan.
Bekas pemain nombor satu dunia itu kembali beraksi selepas lima bulan berehat akibat kecederaan pinggul dan mengekalkan rentak kemenangan selepas bergandingan dengan pemain Sepanyol, Feliciano Lopez.
Juara tiga kali Grand Slam tersebut mencatat kemenangan 7-5, 6-7 (5-7), 10-7 dengan mengatasi pasangan John Peers dan Henri Kontinen pada pertembungan separuh akhir semalam.
“Saya tidak meletakkan sasaran yang terbaik pada aksi pertama saya di sini selepas berehat bagi tempoh yang panjang. Saya akui berdepan lawan yang sukar dan merupakan pilihan utama dalam kejohanan ini. Saya juga tidak pernah bermain dengan Lopez sebelum ini.
“Saya mungkin bermain dengan baik pada perlawanan ini tetapi saya tidak jangka mampu melangkah ke final. Secara keseluruhan saya sangat gembira kerana tetap mempamerkan aksi yang begitu baik meskipun terasa sakit sedikit di bahagian belakang badan.
“Lengan saya juga sedikit penat kerana melakukan pukulan servis tetapi bahagian pinggul saya tidak mengalami sebarang masalah. Saya tidak merasai kesakitan di bahagian tersebut dan sungguh luar biasa. Saya gembira dengan apa yang saya capai setakat ini,” katanya.
Sebelum ini, Murray pernah menyatakan hasratnya untuk beraksi dalam acara beregu di Wimbledon bersama pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert, namun keputusan tersebut masih belum diputuskan secara rasmi.
Tahun lalu, Murray terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu kerana kecederaan pinggul yang hampir mengakhiri kariernya. – Agensi











