Mulakanlah dengan koperasi sekolah - Utusan Malaysia

Mulakanlah dengan koperasi sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KOPERASI dikatakan telah wujud sejak 100 tahun lalu di negara ini, sekali gus bermakna organisasi itu bukanlah asing bagi rakyat. Cuma mengapa ada memandang impak koperasi sebelah mata walau hakikatnya mampu menjana sebanyak 280 juta peluang pekerjaan di seluruh dunia.

Struktur atau model koperasi mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan perpaduan dalam negara, bahkan di peringkat global. Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdu l Fattah Abdu llah berkata, koperasi hari ini perlu mengorak langkah ke hadapan terutamanya di peringkat global.

“Hari ini kita dapat lihat pelbagai teknologi telah berkembang dengan pesat, segalanya sudah berada di hujung jari. Oleh itu kita perlu bergerak dengan lebih pantas sejajar perkembangan tersebut,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Fattah berkongsi inspirasi Angkasa dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan ASHRIQ FAHMY AHMAD di ibu pejabat Angkasa baru-baru ini.

ABDUL FATTAH ABDULLAH

GERAKAN KOPERASI KINI

SEHINGGA kini terdapat hampir 14,247 buah koperasi diwujudkan di Malaysia dengan dianggotai hampir 6.05 juta individu menunjukkan organisasi ini dipercayai ramai. Bahkan koperasi sememangnya merupakan penyumbang ekonomi yang signifikan dalam negara.

Statistik oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) mencatatkan 12 % daripada populasi dunia merupakan anggota hampir tiga juta buah koperasi yang ditubuhkan.

Di Malaysia, koperasi merupakan sektor ketiga terbesar yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Koperasi pada hari ini juga mula berkembang menceburi sektor-sektor berimpak tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk kewangan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, perladangan, perumahan pengangkutan, perkhidmatan, pertanian dan industri asas tani.

TANGANI KOS HIDUP

Kos sara hidup yang tinggi dihadapi rakyat negara ini adalah berikutan kenaikan harga barang tidak setanding dengan kedudukan gaji yang diterima. Mereka yang berpendapatan rendah amat terasa isu kos hidup yang kian meningkat ini.

Kami di Angkasa sedang merancang untuk membantu mengurangkan beban rakyat ini menerusi penawaran barangan keperluan asas dengan kadar harga lebih kompetitif terutamanya kepada ahli-ahlinya.

Sebagai contoh, kita memiliki jaringan perniagaan yang luas terutama bersama negara-negara Asia. Untuk itu kita boleh mendapatkan kerjasama antara negara-negara ini untuk membekalkan barangan asas secara pukal terus kepada koperasi tanpa melalui orang tengah.

Apabila rantaian pengedaran barangan asas ini diwujudkan, kita dapat mengawal kadar harga agar sentiasa berada pada paras yang terkawal, sekali gus mampu menurunkan kos sara hidup yang bukan sahaja ditanggung oleh ahli-ahlinya malah sebahagian besar rakyat negara ini.

Untuk fasa pertama Angkasa menyasarkan pada rangkaian kedai koperasi, fasa kedua nanti pula kedai-kedai ahli koperasi dan fasa ketiga adalah kepada peruncit-peruncit yang berminat.

ASEAN ‘CORNER’

Angkasa sedang berusaha memasarkan produk-produk koperasi dari 10 negara-negara ahli Asia dan aktiviti dagangan baharu itu bakal menggalakkan perniagaan kira-kira 250,000 koperasi ASEAN untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

ASEAN memiliki hampir 640 juta penduduk menjadikan ia potensi perdagangan yang amat luas. Melalui ACO, usaha tersebut akan menjadi satu kekuatan bagi institusi koperasi di Asia Tenggara sekaligus dapat membantu koperasi di Malaysia melebarkan jaringan perniagaan mereka ke peringkat ASEAN.

Kita juga boleh memanfaatkan penggunaan teknologi terkini seperti perniagaan atas talian yang lebih pantas, mudah dan berkesan bagi meningkatkan daya saing di pasaran global.

BANK PEMBANGUNAN KOPERASI

Angkasa juga dalam usaha mewujudkan sebuah Bank Pembangunan Koperasi dengan kerjasama ASEAN Co-Operative Organization (ACO) bertujuan memudahkan lagi pergerakan koperasi dalam negara-negara ASEAN.

Perbincangan telah dilakukan dengan meletakkan syarat sistem bank tersebut mestilah patuh syariah. Modal pun telah disediakan sebanyak lebih kurang RM400 juta dan hanya menunggu masa ia untuk dibuka.

Operasi akan Angkasa kembangkan ke seluruh negara-negara ASEAN menerusi jaringan-jaringan koperasi yang berjumlah hampir 200,000 di negara-negara tersebut sebagai ejen atau cawangan bank ini.

Ditambah dengan kepesatan teknologi terkini seperti perbankan digital yang ada pada hari ini, operasi Bank Pembangunan Koperasi dilihat tiada masalah untuk dicapai oleh ahli-ahlinya walau di mana mereka berada.

PUPUK MINAT KOPERASI

Ramai masih tidak memahami kelebihan mewujudkan koperasi. Selain kita boleh mengumpulkan modal kewangan yang besar menerusi koperasi.

Kita boleh mewujudkan jaringan-jaringan koperasi yang lebih besar atau konsortium agar dapat memastikan penguasaan ekonomi menerusi perniagaan-perniagaan yang diwujudkan.

Harga barangan juga dapat dikawal. Tiada lagi istilah kapitalis dan peluang pekerjaan yang lebih banyak juga dapat ditawarkan kepada komuniti setempat serta mampu meningkatkan ekonomi negara.

Wujudkan koperasi, tidak kira apa jua tujuan dan namanya. Antaranya Koperasi Kariah Masjid, Koperasi Keluarga, Koperasi Wanita dan pelbagai lagi contohnya kerana apabila semakin banyak koperasi ditubuhkan serta memiliki ahli yang ramai, kita akan memiliki kekuatan dari pelbagai aspek tidak hanya kewangan.

Bermulalah dengan koperasi sekolah, dedahkan kepada pelajar dengan lebih meluas agar mereka lebih memahami akan konsep dan struktur koperasi yang akhirnya akan mereka aplikasikan dalam kehidupan seharian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini