Mukhriz tidak tahu UMNO Kedah terima dana 1MDB - Utusan Malaysia

Mukhriz tidak tahu UMNO Kedah terima dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum ini, mengakui tidak tahu mengenai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalurkan ke akaun UMNO Kedah.

Katanya, segala urusan berkaitan dana ketika itu diserahkan sepenuhnya kepada Bendahari UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Katanya, Abdul Azeez turut menguruskan perbelanjaan dan agihan kepada UMNO di setiap bahagian di negeri ini, pada masa itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak pasti bila (terima wang 1MDB) itu berlaku. Waktu saya jadi Pengerusi UMNO negeri dulu memang kita ada keperluan untuk belanja di setiap bahagian tapi saya serahkan kepada bendahari pada waktu itu iaitu Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk kendalikannya.

“Jadi saya tidak tahu apa kaedah yang beliau (Abdul Azeez) gunakan, tapi memang dapatlah peruntukan untuk menggerakkan aktiviti di peringkat bahagian,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Festival Belia Negeri Kedah 2019 di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengumumkan agensi itu telah memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.

Pihak SPRM sudah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi reponden kepada permohonan tersebut.

Menerusi tuntutan tersebut agensi itu mahu menuntut semula wang sebanyak RM270 juta yang dikatakan telah diberikan kepada pelbagai pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Untuk rekod, Mukhriz pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada tahun 2013 dan turut memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada Februari 2016 setelah majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya sekali gus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Kedah.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berkata, jika UMNO pernah menerima duit dari sumber yang salah sebelum ini, mereka perlu memulangkan kembali wang berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini