KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengunci palang Pasar Pagi Selayang Baru di sini bagi mengawal masalah pembuangan sampah di kawasan tersebut.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad memberitahu, punca utama masalah tersebut adalah sikap tidak bertanggungjawab para peniaga daripada pasar borong, Pasar Basah Selayang Baru dan peniaga tepi jalan.
“Untuk makluman, pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) telah menyediakan dua buah tong sampah roro di Pasar Selayang Baru selain aktiviti pembersihan harian dijalankan seperti biasa.
“Bagaimanapun, sikap peniaga dan masyarakat yang membuang sampah di tepi dan luar tong sampah menyebabkan tapak tersebut tercemar dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, penduduk Selayang membuat aduan kepada MPS berhubung isu sampah melalui laman Facebook Penduduk Batu Caves/Selayang/ Gombak.
Tambah Mohamad zin, pihaknya telah melakukan aktiviti pembersihan di kawasan tersebut.
“Kami menyeru kepada semua masyarakat agar sentiasa prihatin dan lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan kawasan setempat. – UTUSAN ONLINE











