Monsta X mendaki populariti - Utusan Malaysia

Monsta X mendaki populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS ditubuhkan empat tahun lalu, tahun 2019 menyaksikan kumpulan penyanyi lelaki dari Korea Selatan, Monsta X menggamatkan perhatian dunia dengan konsert jelajah ketiga yang diberi nama We Are Here sempena album studio terbaharu, Take 2. We are Here.

Bermula di Seoul, Korea Selatan dan bakal berakhir di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Ogos hadapan, Monsta X ternyata sedang mengorak langkah tersendiri dalam menempatkan nama sebagai antara kumpulan K-Pop berpengaruh pada peta muzik antarabangsa.

Bahkan, Monsta X yang dianggotai tujuh lelaki tampan iaitu Shownu, Wonho, Minhyuk, Kihyun, Hyungwon, Joohoney dan I.M juga disebut-sebut sebagai pengganti kepada sebuah lagi kumpulan K-Pop yang menjadi kegilaan ramai iaitu BTS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun tiada pengesahan muktamad, cakap-cakap sebegitu sudah menjadi penghargaan terbesar untuk sebuah kumpulan yang belum mencecah usia lima tahun dalam industri. Bagi Monsta X, cakap-cakap tersebut adalah penguat semangat untuk mereka terus mencipta lebih banyak kejayaan pada peringkat antarabangsa.

“Kami sepatutnya berterima kasih kepada senior kami, BTS kerana populariti mereka banyak membuka peluang dan ruang untuk artis K-Pop lain menyerlah pada peringkat global.

“Namun, ini juga satu cabaran kerana seiring dengan populariti, Monsta X perlu mencipta identiti dan keunikan tersendiri agar menampilkan kelainan,” kata salah seorang anggota Monsta X, Wonho dalam satu temu bual.

Ditubuhkan secara rasminya pada Mei 2015 selepas setiap anggotanya terpilih daripada program realiti No Mercy. Semasa awal penubuhannya, Monsta X sudah berdepan kontroversi tersendiri.

Kekuatan

Tempat salah seorang anggotanya, I.M sebenarnya milik kumpulan #GUN yang menjadi pilihan peminat. Namanya ditukar oleh pihak pengurusan Starship Entertainment tanpa alasan yang didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, hubungan persahabatan yang terjalin antara mereka selepas itu menjadi lebih akrab, sekali gus meningkatkan prestasi Monsta X terutama dari segi penghasilan lagu dan persembahan di atas pentas.

Kata Minhyuk, Monsta X sering ditanya, adakah keakraban mereka dibuat-buat bagi mengaburi mata peminat. Dia pula berasa lucu dengan persoalan sebegitu kerana apa yang mereka tunjukkan kepada umum adalah realiti.

“Persahabatan kami berkembang seiring, sejak Monsta X ditubuhkan. Apabila anda perlu bekerja dan mengadap muka sama selama bertahun-tahun, tidak mungkin semuanya boleh dipalsukan.

“Kami hanya menjadi diri sendiri dan itu yang menjadikan kami kuat serta rapat dengan satu sama lain,” jelasnya lagi yang turut menegaskan, keunikan karakter setiap ahli mengukuhkan lagi jenama Monsta X.

Harapan konsert

Bercakap soal konsert jelajah dunia, We Are Here pada 22 Jun lalu, Monsta X telah menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam meskipun kehadiran mereka ke Malaysia sebenarnya tanpa kehadiran seorang ahli.

Ketiadaan Wonho akibat kehilangan pasport antarabangsanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sehari sebelum konsert walau bagaimanapun tidak menjejaskan sorakan 5,000 ribu peminat yang hadir pada petang tersebut.

Sejujurnya, konsert kali ini bukanlah yang paling padat jumlah kehadirannya, namun teriakkan yang dilontarkan peminat Monsta X yang menggelarkan diri mereka sebagai MONBEBE menutupi ruang-ruang kosong di dalam stadium tertutup berkenaan.

Sempat menyampaikan 35 buah lagu selama tiga jam persembahan, tenaga yang ditunjukkan oleh Monsta X boleh dipuji, bahkan usaha setiap daripada mereka untuk berinteraksi dengan penonton biarpun ada yang tidak tahu berbahasa Inggeris membuatkan penulis memahami mengapa kumpulan K-Pop itu begitu disayangi peminat.

Pada hujung acara, Shownu mewakili rakan-rakannya meluahkan rasa terima kasih dan terharu atas sokongan yang diberikan MONBEBE atas kehadiran Monsta X ke Malaysia biarpun beraksi tanpa seorang ahli.

“Salah satu sebab kami sangat gembira menjayakan jelajah dunia adalah kami berpeluang bertemu dengan ahli MONBEBE yang sering menjadi kekuatan kumpulan ini untuk terus berkarya dan menghasilkan muzik yang lebih bagus.

“Maafkan Wonhu kerana tidak berkesempatan hadir pada malam ini. Namun, dia pasti berasa bangga melihat teriakkan gembira anda menyaksikan kami membuat persembahan. Terima kasih sekali lagi Malaysia,” ujar Shownu sebelum menutup konsert yang berakhir pada pukul 9 malam itu.

Hujung minggu ini, Monsta X akan meneruskan lagi siri jelajah mereka ke benua Eropah bermula di Madrid (Sepanyol), Amsterdam (Belanda), Paris (Perancis), London (United Kingdom), Sao Paulo (Brazil), Mexico dan kemudiannya ke Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini