KUALA LUMPUR – Lebih sejam para media menunggu, malangnya Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak hadir ke Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Majlis yang berlangsung di ibu pejabat agensi itu di Ampang dekat sini difahamkan akan dihadiri Mohamed Azmin pukul 11 pagi tetapi akhirnya hanya digantikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin, sejam selepas itu.
Sebelum itu, seorang pegawai komunikasi korporat RISDA memaklumkan kepada pengamal media mengenai kelewatan Ahli Parlimen Gombak itu susulan terdapat dua buah lagi rumah terbuka Aidilfitri yang perlu dihadiri Mohamed Azmin.
Pada pukul 9 pagi tadi, Mohamed Azmin yang terpalit dengan dakwaan video skandal seks sejenis menghadiri Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development untuk membangunkan Rumah Idaman Rakyat Selangir di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.
Difahamkan majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. – UTUSAN ONLINE











