KUALA LUMPUR – Gesaan seorang Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir supaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memintas proses undang-undang berkaitan memulangkan semula dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau pelik dengan permintaan Ketua Pemuda PKR itu seolah tidak yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuktikan kes tersebut.
“Amat pelik jika seorang ahli Parlimen menggesa saya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas.
“Adakah Akmal sebenarnya tidak yakin bahawa SPRM boleh membuktikan kes mereka dan beliau tidak mempercayai kebolehan mahkamah dalam membicarakan kes ini?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Akmal dalam portal Malaysiakini hari ini yang menggesa Mohamad memulangkan semula dana 1MDB yang diagihkan kepada parti itu untuk menunjukkan beliau berbeza dengan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohamad menegaskan, permintaan itu bukan sahaja tidak berasas tetapi amat jelas menunjukkan yang Ketua Pemuda PKR tersebut tidak peka dengan keadaan semasa.
Tambahnya, ini kerana, sekalipun dana yang diterima UMNO itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk UMNO pulangkan sedangkan dana UMNO sudah dibekukan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun. UMNO tidak bermain geng-geng dalaman.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan UMNO dan mengukuhkannya secara keseluruhan. Ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran Azmin vs Anwar,” katanya.
Beliau berkata, sebagai seorang ahli Parlimen, bercakap tanpa sebarang pengetahuan asas undang-undang dan fakta terkini adalah sangat mengecewakan.
“Sekali pun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, komitmen terbaik UMNO adalah untuk menghormati proses tersebut, tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE











