SKUAD hoki wanita negara menggalas misi sukar dalam memburu tiket ke pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 Tokyo apabila turun beraksi di Final Siri Hoki Dunia 2019 di Banbridge, Ireland Utara bermula 8 hingga 16 Jun ini.
Ini kerana, Malaysian Tigress yang berada di ranking ke-22 dunia perlu melangkah ke pentas final sekiranya berhajat untuk meraih salah satu daripada dua tiket yang ditawarkan ke peringkat kelayakan akhir tersebut.
Lebih menyukarkan keadaan apabila skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala Dunia 2018, Ireland dan pasukan No. 19 dunia, Republik Czech selain Singapura (No. 35 dunia).
Kumpulan B pula mempunyai dua pasukan pilihan yang terdiri daripada gergasi Asia di ranking ke-11 dunia, Korea Selatan dan Scotland (No. 18 dunia) selain dua negara bawahan seperti Ukraine (No. 26 dunia) serta Perancis (No. 30 dunia).
Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tetap optimis anak-anak buahnya mampu melakar kejutan berdasarkan persediaan dan latihan yang dilakukan selain peningkatan prestasi semasa yang dipamerkan barisan pemainnya sejak kebelakangan ini.
“Juara kumpulan akan ke separuh akhir secara automatik, manakala pasukan tempat kedua dan ketiga pula akan bermain secara crossover selain pasukan tercorot akan tersingkir terus daripada kejohanan.
“Apa pun yang terjadi, kami harus pastikan berada sekurang-kurangnya di tempat ketiga kumpulan supaya dapat memasuki peringkat crossover.
“Atas kertas, memang agak sukar untuk kami kalahkan Ireland, jadi kami perlu menang ke atas Republik Czech dan Singapura untuk muncul naib juara kumpulan. Dari situ, skuad negara berkemungkinan berdepan Ukraine di peringkat crossover untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir.
“Jika kami gagal mencapai sasaran ini, maka kami sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan,” kata Dhaarma.
Menurutnya, taktikal baharu yang diguna pakai ketika ini diharap mampu membantu anak-anak buahnya menyaingi kehebatan lawan-lawan dari Eropah pada kejohanan tersebut.
Para pemain Malaysian Tigress juga dilihat sudah serasi dengan taktikal zonal marking (bertahan dalam zon masing-masing) yang diterapkan Dhaarma berbanding sistem man to man marking (bertahan secara individu).
“Sebenarnya kami telah menggunakan corak zonal marking sejak aksi persahabatan menentang India pada April lalu yang mana pemain negara telah menunjukkan peningkatan prestasi yang mendadak.
“Sistem ini membolehkan dua atau tiga pemain mengepung seorang pemain lawan dalam bentuk segi tiga. Kalau seorang terlepas, kami masih ada pemain lain yang akan membantu terutama dalam aspek pertahanan.
“Taktikal ini sebenarnya telah digunakan oleh kebanyakan pasukan-pasukan di Eropah. Jadi saya berharap kami boleh menyaingi mereka dengan menggunakan sistem ini,” jelasnya.
Malaysian Tigress sudah pun berlepas awal ke Eropah untuk melakukan persediaan fasa akhir dengan menjalani beberapa aksi pemanas badan sebelum memulakan kempen di Ireland Utara.
Mereka beraksi dalam Kejohanan Jemputan Tiga Negara menentang Itali dan Sepanyol di Rom dari awal minggu ini sebelum bertolak ke Glasgow hari ini untuk berdepan dengan skuad bawah 21 tahun Scotland.
Selepas itu, skuad negara akan berlepas ke Belfast lima hari kemudian dan bersedia memulakan kempen Final Siri Hoki Dunia bermula 8 Jun ini.











