Mengambil kira fakta bahawa kumpulan terbesar mangsa nahas MH17 itu adalah warganegara Belanda (193 orang), Malaysia (43) dan Australia (27), mana-mana mahkamah di tiga negara ini ada bidang kuasa membicarakan penjenayah terlibat dalam nahas ini. Seperti kita lihat, kesudahannya mahkamah Belanda menjadi pilihan.
Pada Rabu lalu (19 Jun 2019), Ketua Pendakwa Belanda, Fred Westerbeke menamakan empat individu (suspek) yang memainkan peranan penting dalam nahas mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal MH17 pada 17 Julai 2014 lalu.
Mereka adalah Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov (warga Rusia) dan Leonid Kharchenko (warga Ukraine).
Igor Girkin adalah mantan kolonel dalam perkhidmatan risikan FSB Rusia, dan memegang jawatan Menteri Pertahanan di bandar Donetsk (dikuasai oleh pemberontak).
Sergei Dubinskiy adalah anggota agensi risikan tentera GRU Rusia, dan menjadi timbalan kepada Girkin. Oleg Pulatov adalah bekas tentera GRU special forces dan kini menjadi timbalan ketua perkhidmatan risikan di Donetsk. Leonid Kharchenko (warga Ukraine) adalah komander dalam unit tentera di timur Ukraine.
Waran tangkap telah dikeluarkan dan hari perbicaraan telah ditetapkan pada 9 Mac 2020 depan. Andainya pada hari itu nanti suspek belum ditangkap dan tidak dapat dibawa ke mahkamah, perbicaraan akan dijalankan tanpa kehadiran mereka (in absentia).
Di bawah undang-undang Perlembagaan Rusia, tidak seorang pun warga negaranya boleh diekstradisi ke negara lain. Sementara menunggu hari bicara, pasukan penyiasat Joint Investigation Team (JIT) akan teruskan siasatan dan tidak mustahil pendakwaan dibuat ke atas suspek lain di masa depan.
JIT dianggotai oleh pegawai-pegawai dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine. Seawal Oktober 2015, Lembaga Keselamatan Belanda telah membuat kesimpulan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk.
Berikutnya, pada Mei 2018, JIT mengumumkan bahawa sistem peluru berpandu itu dimiliki oleh 53rd Anti-Aircraft Missile Brigade yang berpangkalan di bandar Kursk. JIT mengemukan keterangan bagaimana sistem peluru berpandu itu dibawa masuk ke Ukraine dari Rusia.
Russia menafikan sistem peluru berpandu anti-pesawat udaranya itu telah dibawa masuk ke Ukraine. Kedutaan luar Rusia menyatakan dapatan JIT itu sengaja dibuat untuk menjejaskan nama baik Persekutuan Rusia dalam pandangan masyarakat antarabangsa.
Tolak pendakwaan
Rusia seterusnya menuduh JIT sengaja menggunakan sumber maklumat yang tidak boleh dipercayai, termasuklah menerima keterangan palsu dicipta Ukraine, dan dalam masa sama enggan menerima keterangan diberi Rusia.
Pendakwaan (indictment) yang diumumkan ketua pendakwa Belanda itu dialu-alukan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Setiausaha Luar United Kingdom Jeremy Hunt. Ketua NATO, Jens Stoltenberg menyifatnya sebagai langkah penting dalam usaha mencari keadilan bagi mangsa MH17.
Setiausaha Luar Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo meminta Rusia memastikan individu dinamakan dalam pendakwaan itu dapat hadir di mahkamah sewaktu perbicaraan dijalankan nanti.
Pendakwaan empat individu itu juga disambut baik Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland. Kata beliau “Kita menyokong usaha JIT, yang dianggotai pegawai-pegawai dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, dan menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem keadilan jenayah Belanda.”
Seperti dijangka Presiden Rusia, Vladimir Putin menolak pendakwaan tersebut atas alasan tiada bukti kukuh, ketika ditanya wartawan.
Undang-undang Belanda yang dipakai dalam kes ini adalah Seksyen 168 dan 289 Kanun Jenayah Belanda 1881 (pindaan 2002).
Di bawah Seksyen 168, mana-mana orang yang secara sengaja dan salah (intentionally and unlawfully) menyebabkan sebuah pesawat udara musnah (destroyed) boleh dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat atau tempoh tidak melebihi 30 tahun, sekiranya kesalahan itu mengakibatkan kematian.
Di bawah Seksyen 289, hukuman bagi kesalahan membunuh (murder) adalah penjara sepanjang hayat atau penjara tidak melebihi 30 tahun. Beberapa pihak di negara ini merasa kurang senang dan tidak puas hati terhadap pendakwaan ini.
Mereka mempersoalkan, antaranya, mana bukti menunjukkan empat individu ini bersalah melakukan jenayah ini? Ada pihak lain pula menyatakan pendakwaan ini bermotif politik.
Akbar ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri “tidak gembira dengan pendakwaan terkini kes itu memandangkan ia dilihat menjadi isu politik sejak dari awal lagi” (Utusan Malaysia 20 Jun 2019, di bawah tajuk berita “MH17: Malaysia tetap mahu bukti kukuh”).
Perlu diingat bahawa siasatan JIT tidak berhenti di sini. Wilbert Paulissen, Ketua Pasukan Jabatan Siasatan Polis Belanda, menegaskan, “Siasatan kita tidak berakhir di sini. Ia akan diteruskan ke atas pihak-pihak lain terlibat mengendalikan sistem peluru berpandu tersebut”.
Disebabkan masih ada lapan bulan lagi (sehingga Mac 2020 apabila perbicaraan dimulakan), Ketua Pendakwa Belanda dan pegawai punyai masa memperkasa kes bagi mendapat sabitan dan hukuman.
Memandangkan nahas MH17 ini telah mengorbankan 193 orang warga Belanda sendiri, mustahil pasukan pendakwaan negara itu mahu berdepan dengan kekalahan dalam prosiding jenayah disebabkan gagal membuktikan kes ini hingga ke tahap melampaui keraguan munasabah kepada hakim bicara di Mahkamah nanti.
Pendakwaan terhadap empat individu ini tidak menutup pintu kepada prosiding yang sama kepada suspek lain di masa depan. Pertuduhan yang difailkan minggu lalu pun boleh dipinda dan diperbaiki lagi.
Kita perlu yakin dan bersangka baik sistem perundangan dan kehakiman Belanda, sebagaimana kita mahu orang lain yakin kepada sistem perundangan dan kehakiman kita.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











