KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) masih menunggu kertas kerja berhubung hukuman mati mandatori membabitkan kesalahan membunuh daripada Jabatan Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kertas kerja itu penting bagi membolehkan beliau membentangkan Rang Undang-Undang berkaitan dalam sidang Parlimen, bulan depan.
“Penghapusan hukuman mati mandatori dalam kes pembunuhan sedang berjalan. Saya berharap dapat membentangkan pada Julai ini.
“Saya masih menunggu kertas itu dikembalikan kepada saya daripada Jabatan Peguam Negara. Saya rasa hanya beberapa hari sahaja lagi daripada sekarang,” katanya kepada pemberita di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.
Menurut takwim daripada laman web Parlimen, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung bermula 1 Julai hingga 18 Julai 2019.
Terdahulu, beliau berucap dalam Program Bicara Mengenai Dadah, Masa Untuk Melakukan Perubahan anjuran Centre of Excellence for Research in Aids (Ceria).
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman. – UTUSAN ONLINE











