‘Tiada hari tanpa amal’. Itu prinsip yang dibawa Pertubuhan Amal Membantu Insan Raub dan Lipis Pahang (Amal Team) yang setiap hari pasti ada sahaja kerja-kerja amal dilakukan.
Didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2016, Amal Team bergerak aktif sejak 2010 dengan menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium untuk menarik sukarelawan dan penyumbang dana.
Pada awalnya, Amal Team hanya menumpukan kerja-kerja amal di kawasan sekitar daerah Kuala Lipis, Raub dan Bentong. Namun pertubuhan itu kini turut menyantuni insan-insan yang memerlukan di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Amal Team, Shahrollail Basri, pertubuhan itu kini mempunyai kira-kira 5,000 orang ahli dalam Facebook yang sering bertukar-tukar maklumat mengenai individu yang memerlukan bantuan dari seluruh negara.
Selain sebagai sukarelawan, ahli-ahli tersebut juga merupakan penyumbang dana yang membantu menjayakan setiap misi Amal Team.
“Setiap kes yang dilaporkan akan disiasat oleh ahli-ahli yang tinggal berdekatan dengan mangsa bagi memastikan bahawa perkara yang dilaporkan itu adalah sahih dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan dana dan penipuan.
“Buat masa ini, Amal Team menjalankan kerja-kerja membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim, golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan bantuan, sokongan perubatan serta Orang Asli.
“Kami juga menjadi tenaga kerja sukarela yang akan turun padang jika berlaku bencana alam atau malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Antara program amal yang dilakukan Amal Team yang jarang dilakukan oleh NGO lain ialah memberi pinjam katil pesakit kepada individu-individu yang memerlukan terutama pesakit terlantar.
Penerima sumbangan boleh menggunakan katil tersebut selama mana mereka memerlukan dan waris perlu memulangkannya semula setelah pesakit sembuh atau meninggal dunia untuk kegunaan pesakit lain.
Penghantaran katil-katil tersebut dilakukan sendiri oleh Shahrollail serta sukarelawan Amal Team lain menggunakan kenderaan masing-masing.
“Kebanyakan katil kami beli melalui dana yang disumbangkan orang ramai. Harga sebuah katil pesakit sekitar RM1,400 hingga RM2,600 mengikut fungsinya.
“Ada juga katil terpakai yang kami terima hasil infak orang ramai serta sumbangan hospital swasta.
“Kami juga ada menyediakan kerusi roda serta mesin dan tangki oksigen,” ujar Shahrollail yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang pada 2016.
Kerja-kerja amal yang dilakukan Amal Team juga meliputi keperluan pendidikan apabila turut menyumbangkan komputer riba kepada anak-anak asnaf yang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Pertubuhan itu juga menghulurkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar asnaf yang menyambung pelajaran di Asia Barat.
“Skop kerja amal kami luas sebenarnya. Kami juga telah membina dua buah pondok di kawasan pedalaman untuk kegunaan terutama pelajar sekolah.
“Kami juga ada stor di sebuah masjid yang terletak di Dong, Raub yang menghimpunkan pakaian terpakai sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan Orang Asli.
“Saya berharap orang ramai di luar sana dapat terus menyumbang kepada Amal Team. Walau sekecil mana bantuan yang kita berikan, namun ia rahmat yang besar bagi mereka yang dalam kesempitan,” katanya.
Orang ramai boleh mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Amal Team melalui laman Facebook AMALTEAM atau laman Facebook peribadi Shahrollail iaitu Shah Adun.
Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun bank CIMB Amal Team bernombor 8602629297.










