KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer (KM) 75 Jalan Miri-Bintulu, Miri, Sarawak, semalam.
Utusan Borneo melaporkan, dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Johannes Tebun Ngang, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan yang memboncengnya, Patrick John, 22, mengalami cedera parah selepas patah kaki kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu mengesahkan kedua-dua mangsa adalah mekanik dan berasal dari Long Puah, Tinjar, Baram.
“Siasatan awal polis mendapati penunggang bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Miri ke arah Bintulu dan apabila sampai di KM75 Jalan Miri-Bintulu, motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas.
“Akibat kejadian tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pihak ambulans manakala pembonceng yang cedera parah dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE











