IPOH – Semangat juang tinggi serta tidak melakukan kesilapan mudah sepanjang 90 minit permainan menjadi kunci utama kepada kejayaan Perak menewaskan Pahang sekaligus layak ke perlawanan akhir Piala FA 2019.
Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic berkata kejayaan itu bukan diraih dengan mudah memandangkan Pahang adalah pasukan pilihan dan merupakan penyandang kejuaraan tersebut pada musim lalu.
“Sememangnya ini adalah persembahan terbaik yang ditonjolkan pemain sepanjang kejohanan ini berlangsung meskipun kita tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama akibat penggantungan.
“Kita mengawal dan mendominasi permainan dari mula hingga akhir. Tidak melakukan kesilapan mudah hingga membolehkan lawan menghasilkan jaringan. Jadi secara taktikal kita amat bagus pada malam ini,” katanya dalam sidang media di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Perak mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala FA 2019 apabila mencatatkan kemenangan agregat 4-3 ke atas Pahang di Stadium Perak, di sini.
Perak menumbangkan Pahang 3-0, selepas tunduk 3-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur pada 22 Jun lalu.
Mehmed berkata beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada puluhan ribu penyokong yang datang ke stadium memberikan semangat kepada pemain pada perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim berkata kemenangan ke atas Pahang amat menggembirakannya selain ia berjaya menebus kesilapan yang dilakukan ketika perlawanan separuh akhir pertama sebelum ini.
Beliau juga berterima kasih kepada rakan sepasukan yang tidak putus-putus memberikan kata-kata perangsang dan semangat agar kekal fokus dalam memastikan gawang Perak tidak dibolosi dalam aksi timbal balik semalam.
Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata kerapuhan benteng pertahanan selain kegagalan pemain mengikut perancangan taktikal yang diarahkan menjadi penyumbang kekalahan kepada pasukan Perak.
“Mesej yang diberikan kepada para pemain jangan melakukan benda (bertahan) itu tetapi sebaliknya berlaku. Jadi, Perak ambil kesempatan lakukan serangan sehingga menyebabkan barisan pertahanan lakukan kesilapan terutama di separuh masa pertama,” katanya.
Katanya beliau turut mengakui kesilapan kerana menurunkan Dickson Nwakaeme yang dilihat tidak memberikan sebarang impak kepada pasukan terutama dalam misi memburu gol. – BERNAMA











