KUALA LUMPUR 11 Jun – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) menyasarkan untuk memiliki sekuriti patuh syariah sepenuhnya di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun, dengan MBSB Bank akhirnya menjadi sebuah syarikat induk.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, lebih 85 peratus daripada aset konvensionalnya telah diubah menjadi aset Islamik dengan kira-kira 12 peratus lagi yang perlu dilakukan.
“Ia membuka lebih banyak peluang untuk kita. Memiliki saham patuh syariah lebih mudah untuk menarik banyak industri dan pelaburan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MBSB di sini hari ini.
Pada April 2018, MBSB menjadi bank Islam penuh selepas mengambil alih Asia Finance Bank.
Sementara itu Ahmad Zaini berkata, MBSB menyasarkan pertumbuhan pinjaman sebanyak lima peratus bagi tahun kewangan 2019.
Katanya, ketika ini MBSB memiliki kira-kira RM7 bilion buku pinjaman dan sedia untuk diagihkan kepada peminjam yang layak.
“Bagaimanapun jumlah tersebut akan diagihkan secara berperingkat,” katanya.
MBSB mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM642.40 juta bagi tahun kewangan 2018, meningkat 54.01 peratus berbanding RM417.13 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun bagi suku pertama 2019, Ahmad Zaini berkata, keuntungan selepas cukai MBSB susut 28.94 peratus kepada RM83.83 juta berbanding RM117.96 juta yang dicatatkan suku sebelumnya akibat susut nilai.











