MELAKA – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di Krubong, berhampiran Stadium Hang Jebat di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, Ahmad Husain Abdullah, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dalam perjalanan dari arah Krubong menghala ke Sungai Udang.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah kereta Perodua Kancil dari arah sama yang dipandu seorang anggota bomba berusia 20 tahun.
“Berikutan rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anggota bomba terlibat mengalami cedera di belakang kepala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











