BANDUNG 24 Jun – Seorang lelaki dari Kampung Citiru di dareah ini ditemukan meninggal dunia dipercayai dibelit seekor ular sawa peliharaannya dalam satu kejadian, Jumaat lalu.
Tribun News melaporkan, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Jana dipercayai sedang memandikan ular peliharaannya sebelum diserang reptilia sepanjang tiga meter itu yang membelit mangsa sehingga maut.
Menurut isteri mangsa, Elah, 38, kejadian itu disedari anak perempuannya yang mahu ke tandas.
Ketika ditemukan kata Elah, suaminya itu sudah tidak sedarkan diri dan ular itu berada di bersebelahan mangsa.
Jenazah kemudian disembahyangkan dan dikebumikan selepas solat Jumaat di kampung halamannya itu.
Elah menambah, suaminya memang gemar memelihara reptilia itu sejak dahulu lagi dan turut melakukan jual beli ular dengan penduduk lain.
“Saya pasrah melihat suami saya mati akibat ular, mungkin itu sudah takdir” katanya.
Sementara itu, Ketua Rukun Tetangga setempat, Rukiman memberitahu, ular seberat 17 kilogram tersebut berjaya ditangkap penduduk kampung yang memutuskan untuk membunuhnya kerana bimbang insiden serupa berulang. – AGENSI











