KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memasukkan perancangan eksport bermula daripada peringkat awal operasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, gesaan untuk PKS mengeksport adalah untuk mengatasi sumbangan kecil PKS iaitu kira-kira 18 peratus daripada jumlah eksport negara walaupun PKS merupakan 98 peratus daripada perniagaan di Malaysia.
“Satu daripada sebab utama adalah kurang ilmu pengetahuan tentang akses pasaran dan kesediaan dalam kalangan PKS untuk mengeksport,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Latiff berkata, kini semakin penting untuk PKS menjadi sebahagian daripada perniagaan global memandangkan kemajuan teknologi pesat dalam dunia digital telah membawa masyarakat dunia menjadi lebih dekat.
“PKS tidak boleh mengabaikan perniagaan eksport jika mereka mahu kekal relevan untuk jangka masa yang lama,” katanya.
Katanya lagi, adalah penting untuk PKS membuat persediaan menyeluruh apabila bersedia untuk mengeksport dalam kitaran perniagaan mereka dengan mempunyai strategi eksport yang jelas daripada kekuatan mereka sendiri dan memanfaatkan peluang pasaran.
“Dalam mana-mana kitaran perniagaan PKS, ada satu tempoh mereka perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan syarikat mereka seperti strategi perniagaan, kekuatan kewangan, tadbir urus dan kapasiti pengeluaran,” katanya.
Wan Latiff menyifatkan ini sebagai tempoh yang sangat penting kerana penglibatan atau kejayaan PKS untuk menjadi pengeksport ditentukan pada peringkat ini.
Menurutnya, pada peringkat itu PKS perlu memanfaatkan kemudahan ditawarkan oleh badan pembangunan atau agensi yang ditugaskan untuk membangunkan keusahawanan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan agensinya seperti SME Corporation Malaysia dan SME Bank.
“Sebaik sahaja mereka bersedia, mereka boleh datang ke Matrade untuk mendapatkan bantuan dalam mengantarabangsakan perniagaan mereka.
“Kami mempunyai pengalaman dalam menempatkan PKS Malaysia di peringkat antarabangsa iaitu lebih 25 tahun dan mempunyai 46 pejabat perdagangan di seluruh dunia,” katanya.
Selain menyediakan risikan pasaran yang berharga, Matrade akan memadankan PKS dengan pembeli yang berkelayakan dari seluruh dunia yang telah dikenal pasti oleh pejabat globalnya sejak dua dekad lepas. – BERNAMA











