Masih banyak perlu dipertingkatkan - Eky - Utusan Malaysia

Masih banyak perlu dipertingkatkan – Eky

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Jun – Penyerang Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui belum berpuas hati dengan prestasinya, sebaliknya banyak aspek perlu dipertingkatkan walaupun berjaya mencipta hatrik pertamanya buat pasukan negara.

Berazam untuk muncul antara salah seorang penggempur berbisa negara. Shahrel atau lebih dikenali sebagai ‘Eky’, bertekad mahu terus berusaha keras memperbaiki kelemahan dan mempertajamkan sentuhan penyudahnya.

Penyerang Perak berusia 24 tahun itu, memainkan peranan penting buat pasukan negara apabila meledakkan empat gol ketika Malaysia meraih kemenangan secara agregat 12-2 ke atas Timor Leste dalam playoff pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi pertama menyaksikan dia menjaringkan satu gol ketika skuad Harimau Malaya menewaskan Timor Leste 7-1 pada Jumaat lalu, Eky kemudian meledak hatrik pada aksi kedua, malam tadi yang menyaksikan Malaysia melakar kemenangan 5-1.

“Walaupun gembira tetapi saya tidak mahu berbangga sangat dengan pencapaian ini kerana kita hanya cuma berdepan pasukan yang dikatakan tidak begitu besar. Bagi saya prestasi saya masih perlu ditingkatkan.

“Saya tidak boleh berasa selesa sangat dengan kedudukan sekarang kerana setiap pemain sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Saya akan terus berusaha lebih keras untuk masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam masa sama, ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe berharap bekas pemain PKNP FC itu akan diberikan lebih masa bermain bersama Perak dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Dia sentiasa memberikan yang terbaik…komitmen yang diberikan sangat tinggi dan juga sentiasa berusaha untuk memahami taktikal permainan.

“Tetapi dia harus memperkemaskan lagi permainannya terutama di depan pintu gol. Kita harap, dalam liga, dia akan bermain lebih kerap sebagai pemain nombor 9,” kata Cheng Hoe. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini