PASIR SALAK – Kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah pengairan melibatkan kawasan sawah padi seluas 5,000 hektar di Felcra Seberang Perak yang semakin meruncing sejak lima tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan menghantar Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari bagi mencari jalan untuk mengatasi permasalahan tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Seminggu selepas raya, saya hendak hantar exco Abdul Yunus untuk berbincang dengan Felcra dan orang kampung, kalau perlu buat laluan air lain, kita akan buat.
“Masalah ini boleh diatasi dan difahamkan belanja untuk menyelesaikan permasalahan ini sepenuhnya melibatkan kos kira-kira RM6 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kelestarian warga Felcra Seberang Perak bersama Menteri Besar di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Pada majlis tersebut, Ahmad Faizal menyampaikan replika cek sumbangan hari raya sebanyak RM257,750 oleh kerajaan negeri kepada 1,031 keluarga Felcra Seberang Perak dengan setiap penerima menerima wang tunai RM250 selain bantuan 800 buah Kotak Harapan turut diagihkan.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Zulkarnain Zainal Abidin berkata, masalah pengairan di sini sebenarnya telah berlarutan hampir 20 tahun lalu apabila peserta di sini terpaksa berkongsi saliran air dengan penduduk kampung di Ulu Dedap yang turut mengusahakan sawah padi.
Tambahan pula katanya, sumber air di Sungai Perak kini semakin cetek.
“Keutamaan akan diberikan terlebih dahulu kepada penduduk kampung, oleh itu peserta di sini harus menunggu dalam masa tiga minggu ke sebulan bagi mendapatkan air.
“Jadi, apabila kita lewat menanam, ancaman serangga perosak memberi kesan kepada hasil padi, justeru kita mencadangkan supaya dua saliran air berbeza dibina bagi mengatasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











