Masalah padang bukan alasan - Utusan Malaysia

Masalah padang bukan alasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu menjadikan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang kurang memuaskan sebagai alasan untuk tidak mempamer aksi terbaik menentang Timor Leste pada Jumaat dan Selasa ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu yakin anak-anak buahnya tetap mampu menampilkan permainan terbaik pada aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Mungkin ramai yang kata saya mengadu tentang padang tetapi saya memang mengharapkan keadaan padang lebih baik kerana kita perlu mempamer aksi menarik, namun kita tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkat demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sebelum ini, Cheng Hoe dan pemainnya menyuarakan rasa kecewa mengenai keadaan padang di Stadium Nasional selepas menang 2-0 ke atas Nepal dalam aksi persahabatan, Ahad lalu.

Sementara itu, Cheng Hoe gembira apabila 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan telah melaporkan diri hari ini selepas rehat dua hari, walaupun terpaksa memendekkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Sepanjang kem latihan (sejak 27 Mei), semua pemain yang kita panggil kali ini memberikan komitmen yang terbaik sehingga menyukarkan tugas kami untuk memilih 23 pemain terakhir menentang Timor Leste tetapi apakan daya kita hanya boleh mendaftar 23 pemain,” katanya lagi.

Cheng Hoe dijangka mengumumkan senarai akhir 23 pemain esok.

“Saya juga ingin merayu kepada penyokong yang berada di sekitar Lembah Klang supaya hadir memberikan sokongan di stadium kerana merekalah sentiasa menjadi pemain ke-12.

“Kita sedar bahawa ramai yang balilk ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya,” katanya.

Memandangkan kedua-dua perlawanan berlangsung pada musim perayaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi promosi beli satu percuma satu kepada penyokong, yang mana tiket dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa, RM50 bagi grandstand dan RM5 bagi kanak-kanak.

Malaysia yang menghuni ranking ke-168 dunia perlu mencatat kemenangan secara agregat ke atas Timor Leste untuk mara ke pusingan kedua kelayakan yang bakal menyaksikan pertembungan antara 40 pasukan terbaik Asia untuk memburu kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 di China. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini