JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melumpuhkan cubaan dua lelaki menyeludup masuk 45,000 ekor benih udang kara bernilai RM13,000 dalam serbuan di Sungai Muar dekat Muar tengah malam tadi. Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, kedua-dua lelaki yang berusia masing-masing 24 dan 50 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada 12.50 tengah malam.
“Ketika serbuan dilakukan, pihak kami mendapati sebuah bot dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan ke atas mereka dibuat dan berjaya menemukan 19 peti polisterina mengandungi 450 bungkusan lutsinar.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati, terdapat 45,000 ekor benih udang kara yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini daripada negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, udang kara itu disyaki diseludup untuk pasaran dalam negara kerana ia mendapat permintaan yang tinggi.
Mohammad berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Perikanan 1985.
“Kejayaan mematahkan aktiviti penyeludpan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 serta Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA),” katanya. – UTUSAN ONLINE.











