MAQIS gagalkan cubaan seludup 100 batang anak pokok markisa - Utusan Malaysia

MAQIS gagalkan cubaan seludup 100 batang anak pokok markisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 100 batang anak pokok markisa bersama media tanam (tanah) atau nama saintifiknya Passiflora edulis sp. dari China, Ahad lalu.

Pengarah MAQIS negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, bagi pengimportan produk berkenaan, antara dokumen yang diperlukan adalah permit import (IP) dan Sijil Fitosanitsi.

Beliau berkata, rampasan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di laluan ketibaan kira-kira pukul 8 malam, Ahad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jumlah anak pokok yang dirampas sebanyak 100 batang dianggarkan bernilai mencecah ribuan ringgit. Tujuan tumbuhan ini dibawa masuk ke Malaysia dipercayai untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma tanpa permit import permit yang sah daripada MAQIS menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata, MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke Malaysia adalah bebas daripada sebarang ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Katanya, ia juga untuk memastikan produk-produk import tersebut tidak akan menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan kesihatan makanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini