PARIT 21 Jun – Perak menagih sentuhan magis dua pemain import baharunya bagi menajamkan kembali posisi serangan yang sebelum ini dilihat agak tumpul menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Pahang, esok.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dua pemain tersebut dari Brazil, Ronaldo Henrique dan Raianderson Da Costa (Careca) perlu bijak mengambil setiap peluang bagi menjaringkan gol.
“Kalau dilihat dalam perlawanan sebelum ini (Liga Super menentang Terengganu FC), walaupun berjaya menjaringkan tiga gol, begitu banyak peluang keemasan tetapi tidak diambil.
“Dari satu sudut, kita telah berjaya memenangi perlawanan tetapi dari satu sudut lain, kita dapati banyak lagi perkara yang perlu ‘dipertajam’ bagi memastikan setiap kali kita dapat peluang, mesti diambil dengan sepenuhnya,” katanya.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga berharap setiap pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam perlawanan esok yang bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
“Menang atau kalah pada saya adalah ‘secondary’ (perkara kedua). Dalam apa-apa juga sukan, saya hanya mengharapkan yang terbaik.
“Kalau kita berjaya, alhamdulillah, kalau kita tidak berjaya, kita mesti belajar dari kesilapan dan berusaha untuk mencapai kejayaan, itu sahaja permintaan saya kepada para pemain,” katanya yang turut mengharapkan sokongan berterusan oleh para penyokong. – UTUSAN ONLINE











