SYAWAL kali ini memberi signifikan manis buat pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal. Masakan tidak, selain diceriakan sepasang anak yang banyak keletah, Wawa atau nama lengkapnya, Nur Hawa Zainal Abidin itu dibumbui rasa istimewa yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata apabila sekali lagi disahkan hamil. Kini, kehamilan ketiganya itu sudah memasuki usia tiga bulan.
Bersyukur dengan rezeki pemberian Allah, tiada apa yang diharapkan Wawa dan Aeril selain halaman perkahwinan mereka terus subur menguntumkan bunga-bunga bahagia. “Alhamdulillah, saya dan Wawa sangat bersyukur dengan segala rezeki kurnia Ilahi terhadap kami sekeluarga. Bukan sahaja yang baik-baik, perkara yang kurang baik pun kami ambil sebagai penghargaan betapa luas kasih sayang Allah,” ungkap Aeril.
Budaya
Bercerita tentang pendekatan sambutan raya tahun ini pula, bapa kepada Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4, telah membawa kedua anaknya itu menyelami zaman kanak-kanaknya. “Saya mahu anak-anak saya tahu di mana bapa mereka bermain sorok-sorok. Saya juga mahu mereka tahu belukar mana bapa mereka suka pergi waktu zaman kanak-kanaknya,” kata pemilik nama sebenar Suhairil Sunari, itu ceria.
Aeril,30, berasal dari Batu Pahat, Johor dan menurutnya, sehinggalah berusia 18 tahun, dia tidak pernah ‘keluar’ dari Johor.
“Saya tinggal dan membesar di Johor sehingga berusia 18 tahun. Selama tempoh itu, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.
“Jadi, aktiviti yang saya lakukan waktu zaman kanak-kanak adalah 100 peratus di kampung, daripada malam bertemankan api pelita sehinggalah bermain dalam hutan pada siang hari,” kongsi Aeril.
Menurutnya lagi, perkara pertama yang dilakukan apabila pulang ke kampung halaman pada hari raya adalah membawa anak-anaknya menziarahi pusara kedua ibu bapanya.
“Tanpa kedua-dua ibu bapa, suasana raya sudah tidak seperti dahulu lagi.
“Perkara paling seronok tentang hari raya adalah juadah dan berpeluang menikmatinya bersama keluarga. Saya masih ingat rasa ketupat dan rendang yang disediakan arwah ibu. Semasa mereka masih ada, suasananya secara automatik menjadi sangat ceria,” kata Aeril yang kehilangan kedua ibu bapanya pada tahun 2010 dan 2011.
Rumah atas air
Ujar pelakon drama Cari Aku Di Syurga itu, biarpun kedua ibu bapanya sudah tiada, penting untuk mereka kembali ke kampung halaman setiap kali raya.
“Saya mahu mengajar anak-anak betapa pentingnya budaya balik kampung. Suasananya sangat berlainan. Rasa macam berada bawah langit yang berbeza,” ulasnya.
Dalam pada itu, Wawa pula mendedahkan, mereka sekeluarga hanya berpeluang merasai pengalaman beraya buat pertama kali di kampungnya iaitu di Lahad Datu, Sabah pada tahun lalu.
Tahun ini, kalau diberi peluang, dia juga mahu membawa anak-anak pulang beraya di Sabah.
“Di Sabah, saya membesar di rumah atas air sehingga berusia 10 tahun. Saya langsung tidak pernah berasa takut, malah rasa sangat hebat.
“Apabila tiba hari raya, semua orang akan menziarahi dari rumah ke rumah walaupun ada yang tidak kenal antara satu sama lain,” katanya.
Malangnya, menurut Wawa, anak-anaknya tidak berpeluang untuk merasai pengalaman tinggal di rumah atas air milik keluarganya kerana sudah dirobohkan beberapa tahun lalu.
Penglibatan anak
Sementara itu, ditanya tentang keterbukaan Wawa dan Aeril yang memberi lampu hijau buat anaknya dalam dunia seni apabila terlibat sekeluarga sebagai duta kempen raya TV3, Setulus Ikhlas, mereka mempunyai alasan tersendiri.
“Kami bukannya terlalu hendak mendedahkan anak-anak ke dunia seni. Ada peluang dan rezeki, mengapa tidak kita ambil sahaja.
“Mana tahu selepas ini ada rezeki lebih untuk mereka dalam bidang ini. Kami sebagai ibu dan bapa tidak akan menghalangnya,” kata Wawa.
Sehingga kini, anak perempuannya, Hayla menunjukkan kecenderungan untuk terlibat dalam dunia seni. “Dia (Hayla) suka tengok cermin dan berangan menjadi pelakon. Yang lelaki tidak sangat. Dia lebih suka berada dalam dunianya sendiri dan habiskan masa dengan permainan video,” kongsinya.
Sebelum menutup bicara, Wawa sempat berkongsi tentang haluan kariernya sekarang yang tidak mempunyai perancangan untuk kembali berlakon kerana ingin fokus terhadap keluarga dan bisnes.
“Kalau saya berlakon dan Aeril juga melakukan perkara sama, susah nanti. Anak-anak tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Biarlah Aeril sahaja yang berlakon. Saya mahu berehat daripada berlakon, tetapi kalau ada peluang yang okey dengan jadual saya sebagai isteri, ibu dan usahawan, saya akan mempertimbangkannya,” kata Wawa.
Pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menekankan tentang kepentingan budaya balik kampung kepada kedua anak mereka, Ahmad Fakhruddin Attar dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa.










