PULAU PINANG – Seorang pengurus pusat jagaan warga emas di Jalan Thomas, Gelugor di sini sanggup menghamburkan kata cacian kepada anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen yang menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Kejadian tersebut berlaku apabila sekumpulan anggota Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri membuat pemeriksaan di premis berkenaan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengurus berkenaan yang tidak berpuas hati menyifatkan tindakan pegawai penguat kuasa imigresen menangkap PATI itu sebagai tidak ‘berakal’ dan ‘buta’ kerana warga asing terbabit hanya menjaga warga emas.
Bagaimanapun, tindakan pengurus terbabit tidak mendatangkan hasil sebaliknya beliau turut ditangkap kerana disyaki mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen dan pas yang sah.
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud, pihaknya menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan setelah menerima aduan awam menyatakan terdapat PATI yang diambil untuk bekerja di premis itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati seramai enam wanita warga Indonesia berada di dalam premis berkenaan dan mereka digajikan untuk menjaga warga emas.
“Lima wanita yang ditahan didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa selepas pas lawatan sosial mereka tamat.
“Seorang lagi didapati melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) akta sama yang mana meskipun memiliki pasport tetapi tidak mempunyai apa-apa endorsmen pas di dalamnya,” katanya.
Menurutnya beliau, menjaga warga emas bukan alasan untuk tidak mematuhi undang-undang negara ini dan pihaknya tidak akan berkompromi berkenaan kedaulatan dan keselamatan negara.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di pondok pengawal sebuah kondominium di Gelugor di sini, seorang lelaki warga Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut ditangkap kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Menurut Muhamad Husni, seorang penyelia warga tempatan turut disaman supaya dan diarahkan hadir untuk memberi keterangan di pejabat imigresen. kenyataan untuk siasatan lanjut.
“Semua tangkapan warga asing terbabit telah ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











