JAKARTA 23 Jun – Dua orang dilaporkan maut dan berpuluh yang lain jatuh sakit selepas makan pindang ikan mas, di Sindangbarang, Cianjur semalam.
Mangsa yang maut ialah Ahmad Sadili H Basarah, 56, dan Rindi, 11, sebahagian daripada 38 orang penduduk Jayagiri yang keracunan.
Kejadian itu bermula pada Rabu lalu selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenainya.
Ketua Polis Sektor Sindangbarang, Nandang berkata, beberapa mangsa mengalami mual, muntah dan cirit birit selepas makan pindang ikan mas sekitar pukul 9 malam.
“Pada mulanya mereka ingat ia disebabkan masuk angin ekoran keadaan cuaca.
“Namun semakin banyak mangsa sakit perut dan cirit-birit lantas mendapatkan rawatan ke klinik kesihatan,” ujarnya.
Tambahnya, pihak kesihatan kemudian melakukan siasatan dan mendapati ia berikutan keracunan makanan.
Sementara itu, lima sekeluarga keracunan makanan setelah makan hidangan ‘rawon’ dalam suatu majlis dan dibawa ke hospital pada 8 Jun lalu.
Seorang daripada mereka maut ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan manakala empat lain keluarganya masih mendapatkan rawatan. – AGENSI











