KUALA LUMPUR – Lynas Corp. Ltd. (Lynas) mengulangi komitmennya kepada Malaysia untuk melupuskan sisa yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) hasil pemprosesan nadir bumi di Australia.
Pengarah Urusan dan Naib Presiden Malaysia Lynas (M) Sdn. Bhd., Datuk Mashal Ahmad berkata, pihaknya memahami kehendak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bahan nadir bumi itu diproses terlebih dahulu sebelum dibawa ke Malaysia untuk proses seterusnya.
Katanya, peringkat pertama proses itu di mana nadir bumi dilupuskan dari bahagian rendah yang secara semula jadinya menyebabkan bahan radioaktif turut terhasil bersama.
“Kami amat komited memindahkan semula proses ini ke Australia yang dipanggil Cracking and Leaching (meretakkan dan larut resap) dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kami telah mengenal pasti dua tapak pemprosesan yang berpotensi berhampiran dengan lombong kami di Barat Australia. Kerajaan dan komuniti setempat turut memberi sokongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mashal, apabila kilang baharu beroperasi di Australia, bahan itu akan dibawa ke Malaysia untuk pemprosesan yang tidak akan melibatkan NORM.
“Kira-kira satu pertiga kakitangan Lynas di Malaysia bekerja dalam bahagian meretakkan dan larut resap. Jadi, kita akan melabur dalam pemprosesan hiliran tambahan di Malaysia untuk mencipta pekerjaan baharu selain memastikan peluang itu dapat diisi oleh rakyat yang akan berkembang bersama syarikat.
“Perubahan terhadap operasi kami ini dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion, tetapi kami lakukan ini disebabkan komitmen kami kepada rakyat dan juga Malaysia sebagai sebuah pusat nadir bumi yang cemerlang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











